SEMUA persoalan mengenai Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah terjawab, kini fokus akan diberikan kepada sidang pertama persidangan Dewan Rakyat ke-14 pada Isnin depan dan ia akan tertumpu kepada blok pembangkang terbesar, Barisan Nasional (BN).
BN yang jadi kerajaan selama 13 penggal tanpa digugat tetapi kini jadi pembangkang dijangka meletakkan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ketuanya, kata pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar.
“Walaupun ada cadangan supaya bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin dijadikan ketua pembangkang, saya fikir Zahid akan jadi,” kata Tunku Mohar.
Dalam kes BN, peranan itu biasanya dipegang Umno yang mempunyai wakil rakyat teramai dalam Dewan Rakyat, kata Tunku Mohar lagi.
“Dalam kes Pakatan Rakyat pada 2013, PKR hanya ada 30 ahli Parlimen berbanding 38 oleh DAP tetapi pakatan tidak rasmi itu menamakan Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang kerana beliau adalah calon perdana menteri mereka.
“Tetapi memandangkan BN masih tiada perjanjian dengan PAS atau Gabungan Parti Sarawak (GPS), ketua pembangkang berkemungkinan besar ialah Zahid. Selepas menang pemilihan Umno bulan lepas, beliau pastinya mahu menunjukkan yang beliau boleh memimpin BN yang sedang berpecah sekarang,” katanya.
PH sekarang mempunyai 116 ahli Parlimen, terdiri daripada 52 (PKR), 42 (DAP), 12 (Bersatu) dan 10 daripada Amanah. Pembangkang pula terdiri daripada BN (54), GPS (19), PAS (18) dan tiga lagi ahli Parlimen bebas. Selebihnya parti yang mesra PH, Warisan (8) dan Star Sabah, PBRS, PBS dan Upko dengan satu ahli Parlimen setiap satu.
Pembangkang Melayu di Semenanjung
Buat pertama kali sejak pilihan raya diadakan pada 1959, pembangkang dari Semenanjung Malaysia terdiri daripada majoriti ahli Parlimen Melayu Islam. Dengan pengecualian dua ahli Parlimen daripada MIC dan satu daripada MCA, 69 ahli Parlimen pembangkang yang lain adalah daripada Umno dan PAS.
Pembangkang didominasi Melayu Islam dari Semenanjung Malaysia dijangka membangkitkan isu kaum dan agama dalam Parlimen, kata penganalisis politik Penang Institute Dr Wong Chin Huat.

Wong menjangkakan yang PAS dan Umno besar kemungkinan akan memainkan sentimen kaum dan agama.
“Yang menarik jadi tumpuan adalah jika Khairy dan seangkatan dengannya boleh membuka ruang berbeza selaku pembangkang.”
Khairy yang tewas kepada Zahid pada pemilihan Umno sudah membayangkan yang beliau akan jadi “suara luar Umno” di Parlimen.
Dan tidak seperti dulu, Wong menjangkakan penyokong kerajaan yang lebih mendesak.
“Terdapat 73 penyokong kerajaan (termasuk Batu). Ramai yang kritikal kepada kerajaan, baguslah. Jika jawatankuasa Parlimen dibentuk, penyokong ini akan dapat insentif untuk cari kepakaran mereka, dengan harapan mereka akan dipilih sertai barisan hadapan nanti.
“Jika merit individu bertambah nanti, ia akan membantu Pakatan bergerak daripada kemelut antara sekutu kepada peruntukan kerja-kerja barisan hadapan,” katanya.
Bekas pensyarah kewartawanan itu berkata speaker yang tidak berasal daripada mana-mana parti politik juga akan berpeluang menjadi model tauladan untuk generasi akan datang.
“Jika tidak, pejabat speaker akan dilihat sebagai lanjutan kerajaan dan menambah tekanan antara sekutu antara parti Pakatan,” kata Wong.
GST hapus, SST muncul semula
Walaupun masih tidak disenaraikan, kerajaan PH dijangka membentangkan usul penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Akta Anti Berita Tidak Benar.
Ini selaras dengan janji manifesto untuk menghapuskan GST. Bagaimanapun masih tidak jelas, sama ada PH akan membentangkan usul Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada persidangan pertama.
Kementerian Kewangan sudah menyasarkan kutipan RM17 bilion SST apabila dikuatkuasakan September nanti.
Akta GST 6% diluluskan pada 2014 dan dilaksanakan pada 1 April, 2015. Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Perkhidmatan 1975 pula dihapuskan pada 2014 untuk memberi ruang kepada GST.
Persidangan Isnin nanti akan menyaksikan jumlah ahli Parlimen baharu teramai di Dewan Rakyat. Daripada 222 ahli Parlimen, 40.9% atau 90 orang adalah ahli Parlimen buat pertama kali.
Persidangan akan dimulakan dengan upacara angkat sumpah ahli Parlimen dan pemilihan speaker dan timbalan speaker baharu.
Berlangsung selama 20 hari daripada 1 Julai sehingga 16 Ogos, titah Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada Selasa. – 14 Julai, 2018.

Komen