BN atau Pakatan, perlu dihukum jika langgar peraturan pilihan raya


Sheridan Mahavera

NAJIB Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Lim Guan Eng dan Mohamed Azmin Ali antara yang melakukan kesalahan pilihan raya pada 9 Mei, dan mereka patut dibawa ke mahkamah, kata badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0.

Pengarah Eksekutif Bersih Yap Swee Seng berkata personaliti berkenaan, ada yang memberikan bantuan kerajaan yang tidak wajar, atau menggunakan sumber awam dalam kempen mereka.

Beliau menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar bebas dalam Malaysia baharu, dan menyiasat semua individu berkenaan.

Katanya, siasatan patut dimulakan tanpa mengira sama ada mereka yang melanggar undang-undang kini dalam kerajaan, atau tidak.

“SPR dan SPRM menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani rasuah dan pembiayaan politik ketika PRU14.

“Mereka patut mula menyiasat dan menghantar keputusan siasatan kepada peguam negara, supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Empat individu berkenaan dinamakan dalam laporan penyelewengan yang dilakukan sebelum dan ketika tempoh pilihan raya. Laporan itu sebahagian daripada inisiatif Pemantau Bersih, dengan kerjasama dengan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Pusat Komas.

Lebih 1,100 koordinator dan sukarelawan terbabit dalam memantau pilihan raya itu, bermula daripada pembubaran Parlimen pada 7 April hinggalah pada hari membuang undi.

Mereka melaporkan 46 kes rasuah dan pembelian undi, 196 insiden pemberian makanan dan hadiah lain untuk mempengaruhi pengundi, 105 insiden penyalahgunaan jentera kerajaan dan 150 kes pemberian bantuan kerajaan daripada ahli politik selepas pembubaran Parlimen.

Sesetengah kes itu adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954.

BN menang

Barisan Nasional (BN) menewaskan Pakatan Harapan (PH) dalam jumlah kesalahan yang dilakukan. Dalam kalangan calon BN, bekas pengerusi gabungan itu Najib yang juga pemangku perdana menteri ketika itu, melakukan kesalahan paling banyak, kata laporan berkenaan.

Najib didakwa menyalahgunakan sejumlah besar dana awam ketika mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia akan dibayar dua kali ganda jika BN kembali berkuasa.

“Tanpa peruntukan untuk itu dalam bajet persekutuan, jelaslah ia salah guna kuasa ketika tempoh kempen,” kata laporan itu.

Pemimpin BN lain juga sama ada menyalahgunakan dana kerajaan atau disyaki melakukan rasuah.

Antara yang disyaki ialah pemimpin Umno Petaling Jaya Abdul Mutalif Abdul Rahim, yang didakwa menawarkan RM3,000 kepada pemilik bengkel pada 10 April, dan calon Sungai Petani Shahanim Mohd Yusof, yang memberikan sampul berisi duit kepada pengundi. Beliau mendakwa wang itu daripada peruntukan senatornya.

Dalam beberapa kejadian, calon Sungai Besar Jamal Md Yunos menjanjikan pengundi antara RM1,000 dan RM2,000 jika BN menang kerusi itu.

Calon PH juga didapati menawarkan sesuatu berbentuk dorongan kepada pengundi. Calon Sungai Aceh, Zulkifli Ibrahim memberikan sumbangan peribadi kepada mangsa ribut di Pulau Pinang. Juga di Pulau Pinang, ketua menteri pada masa itu Lim Guan Eng mempolitikkan program kerajaan negeri dengan adanya sekumpulan kanak-kanak menyanyikan lagu mengecam cukai barangan dan perkhidmatan.

Parti Islam PAS juga bersalah dalam menyalahgunakan sumber awam pada program kerajaan negeri Kelantan di Pahang.

Laporan itu berkata program anjuran kerajaan negeri Kelantan dan Pulau Pinang antara dua daripada 105 contoh yang jentera kerajaan negeri digunakan untuk kempen politik.

Sementara itu, Azmin yang juga menteri besar Selangor pada masa itu, didakwa memberikan RM11.5 juta dalam dana kerajaan yang sepatutnya untuk sekolah, di program politik.

Azmin ditemani oleh Elizabeth Wong, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ean Yong Hian Wah dan Teng Chang Khim, pada masa itu exco dan juga calon pilihan raya.

“Sebarang pemberian bantuan kerajaan yang diumumkan sebelum pembubaran kerajaan negeri sepatutnya diagihkan oleh penjawat awam, bukannya calon pilihan raya,” kata laporan itu.

Kesimpulannya ialah, menurut laporan itu walaupun kedua-dua BN dan PH bersalah melakukan salah laku, sejumlah besar kesalahan yang berlaku itu memberikan kelebihan tidak adil kepada kerajaan sedia ada.

“Tetapi di sebalik semua penyelewengan itu dan walaupun pilihan raya tidak bebas dan adil, rakyat yang akhirnya menang dan menolak BN,” kata pemangku pengerusi Bersih Shahrul Aman Mohd Saari. – 14 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen