MEMBANTU gelandangan dan asnaf miskin di Klang dengan menyediakan makanan percuma hampir setiap malam, NGO Reach Out Malaysia (Klang) turut prihatin dengan masalah dihadapi mereka.
NGO yang sudah bertapak hampir sedekad ini sentiasa mengunjungi dan melawati 120 individu yang berdaftar di bawah mereka.
“Kami ada hampir 50 sukarelawan dan bukan sahaja hanya memberi bantuan makanan. Kita ada turun di rumah warga miskin juga.
“Apatah lagi kalau warga emas, kita periksa ke rumah untuk pastikan mereka sihat,” kata sukarelawan Melvin Lim kepada The Malaysian Insight.
Minggu lalu, Melvin membawa wartawan The Malaysian Insight di sebuah kampung setinggan di Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang.
Beliau dan sukarelawan lain sering mengunjungi kampung berkenaan terutama rumah yang dihuni warga emas.
Antara yang mendapat perhatian adalah pasangan Ismail Supadi, 81, dan Amnah Ali, 72, yang tinggal di kampung berkenaan.
Bekas pekerja buruh, Ismail mempunyai masalah kesihatan dan mengalami kesukaran untuk bergerak. Justeru, Isterinya setiap malam akan berjalan kaki ke Maybank Tengku Badar untuk mengambil makanan percuma.
NGO ini juga pernah membawa pasangan ini ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Klang untuk mendapatkan bantuan.
“Kami sudah membawa pasangan ini ke pusat zakat tetapi sehingga kini tidak tahu statusnya,” kata Melvin lagi.
The Malaysian Insight sudah menghubungi LZS untuk mendapatkan kepastian namun masih belum mendapat maklum balas.
Pada 2 Jun lalu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mendedahkan bilangan keluarga fakir dan miskin bertambah sebanyak 2,207 iaitu daripada 44,393 pada 2015 kepada 46,500 pada 2016.
Menurut badan agama itu faktor utama adalah peningkatan kos sara hidup yang membebankan.
Malah pemberhentian pekerja secara beramai-ramai ekoran pihak majikan ingin menurunkan kos operasi.
Bantuan bulanan daripada penderma
Tahun lalu, Reach Out Klang konsisten memberikan bantuan bulanan makanan asas kepada keluarga miskin.
Namun, tahun ini pemberian beras, gula dan tepung bergantung kepada kapasiti penderma.
“Pemberian bulanan boleh mencecah RM5,000 bagi kos beras dan sebagainya. Berbeza dengan makanan bantuan harian yang hanya memerlukan RM400.
“Dulu kita buat konsisten, tetapi sekarang penderma semakin kurang. Ada yang memberi bantuan 100 bungkus beras dan kita akan agihkan kepada keluarga miskin,” kata Melvin lagi.
Sedia makanan setiap hari
Menerusi inisiatif Reach Out Klang ini, 30% individu iaitu kira-kira 35 keluarga yang berdaftar termasuk warga emas dan fakir miskin.
Turut menjadi rutin NGO ini adalah menyediakan makanan di dua tempat sekitar Klang iaitu jalan Taiping dan cawangan Maybank di Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang.
“Kami selalunya menyediakan 80 bungkus makanan dari jam 10 malam di dua lokasi. Anggaran makanan RM5 seorang dan menelan kos sekurang-kurangnya RM400 sehari.
“Kami beri makanan setiap hari kecuali Ahad,” katanya lagi.

Turun padang
Mahu menggalakkan orang ramai terlibat aktiviti sukarelawan, NGO ini jarang menerima bantuan wang tunai.
“Kalau ada yang mahu derma, kami sebolehnya tidak mengambil wang. Kami lebih suka menerima dalam bentuk makanan.
“Kita minta penderma turun sendiri pada hari pengagihan makanan. Bila mereka sendiri turun padang, baru tahu keadaan sebenar di lokasi,” katanya lagi.
Namun, jika penderma berkeras mereka akan memberikan resit perbelanjaan sebagai bukti.
Dana yang diperoleh NGO ini daripada pelbagai latar belakang termasuk korporat.
“Ramai yang ingin bantu terdiri daripada pelajar universiti, persatuan, dan juga badan korporat swasta.
“Kami memang menggalakkan mereka membuat acara sendiri dan akan memimpin mereka,” katanya lagi. – 16 Julai, 2017.
Komen