WAJAH dan tubuh mereka dimamah usia. Rumah mereka usang, namun masih gigih meneruskan sisa hidup dalam kemiskinan.
Kurang 10 kilometer dari Bandar Klang, terdapat sebuah kampung setinggan yang dihuni masyarakat miskin.
Di Kampung Tengku Badar, Pelabuhan Klang, tiga keluarga miskin yang ditemui The Malaysian Insight berkongsi kesusahan mereka.
Sepasang suami isteri mengalani kesukaran mencari sesuap nasi lebih-lebih lagi dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Ismail Sipad, 81, dan isterinya Amnah Alan, 72, tinggal hampir 20 tahun di kampung setinggan itu.
Selain meminta sedekah, pasangan itu mengutip tin kosong dan besi untuk dijual semula.
“Inilah barang yang makcik kutip. Hendak dapat barang macam ini lama juga, lebih dua bulan. Itu pun bila dijual dapat RM50 sahaja.
“Tetapi sekarang badan pun sudah tidak larat. Susah hendak kutip lagi,” kata Amnah yang mempunyai tiga anak.
Pasangan ini hanya memperoleh pendapatan kurang RM500 untuk menampung perbelanjaan sebulan.Bercerita mengenai sejarah keluarga, pasangan ini hanya memberitahu mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan namun enggan mengulas lanjut.

“Anak lelaki ada dua, anak perempuan bongsu sudah berkahwin, yang ada juga membantu memberi wang RM150 sebulan.
“Saya tidak mahu bercerita sangat kisah hidup anak saya, tiada gunanya,” kata Amnah yang mengakui mempunyai dua cucu.
Pada 2 Jun lalu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mendedahkan bilangan keluarga fakir dan miskin bertambah sebanyak 2,207 iaitu daripada 44,393 pada 2015 kepada 46,500 pada 2016.
Menurut badan agama itu faktor utama adalah peningkatan kos sara hidup yang membebankan.
Bantuan makanan
Bagi mengurangkan bebanan, Amnah dan suami terpaksa mendapatkan bungkusan makanan daripada NGO Reach Out yang aktif di Klang sejak dua tahun lalu.
“Makcik dan pakcik tidak makan banyak tetapi kami selalu ke tempat bawah jambatan untuk ambil bantuan makanan.
“Kadang-kala kami dapat makan burger, roti atau biskut. Alhamdulillah, ada rezeki kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bagi Ismail yang bekerja sebagai buruh kasar 20 tahun lalu, bantuan NGO dan orang ramai yang prihatin amat dihargainya.
“Sebelum ini, dalam tahun lepas, pernah bil api rumah tertunggak beratus ringgit. Saya keluar minta duit dan bantuan orang ramai. Mujur mereka mahu bantu.
“Tetapi sekarang hendak berjalan ke luar pekan pun susah. Kaki saya sudah masuk besi. Tahun lepas saya jatuh basikal,” kata Ismail yang berasal daripada Tanjung Karang.
Pasangan ini katanya sudah memohon bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tahun lepas namun tidak diketahui keputusannya.
“Kami sudah pergi ke sana (pusat zakat) mohon. Isi borang dan balik. Mereka kata tunggu panggilan dan sampai sekarang tiada panggilan,” kata Amnah.

Hidup sebatang kara
Jiran pasangan ini, Esah Mohd Amin tidak kurang malangnya. Warga emas berusia 71 tahun ini hidup sebatang kara sejak anak tunggalnya Ramli Haron meninggal dunia Jun lalu.
Enggan meninggalkan rumah usang, Esah hanya ditemani beberapa ekor kucing liar.
“Kita duduk seorang sahaja di sini. Anak sudah meninggal. Kita tidak takut, apa hendak takut sebab rumah ini sudah lama kita duduk.
Wanita berasal dari Terengganu ini juga turut dibantu NGO Reach Out dan jiran tetangga untuk meneruskan hidup.

Hilang punca pendapatan
Sementara itu, penghuni setempat Muthayee A/P Letchuman, 69, hilang mata pencarian tiga bulan lalu kerana tangannya patah dan tidak mampu bekerja sebagai tukang cuci di kuil berdekatan.
Kini, rumah kecil usang itu hanya bergantung harap kepada anak perempuannya yang bekerja sebagai pencuci pinggan dengan pendapatan RM500 sebulan.
“Saya ada dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Klang sebanyak RM350. Anak saya perempuan juga ada membantu membayar bil.
“Kami sangat susah tetapi mahu mencari kerja untuk mendapatkan duit. Suami saya sudah meninggal dunia 20 tahun lalu. Nasib baik, anak-anak ada juga yang memberi duit,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Muthayee kini sukar untuk ke bandar mendapatkan makanan daripada NGO Reach Out kerana faktor kesihatan.
“Saya tidak dapat ambil makanan lagi sejak sakit. Hanya, makan sedikit sahaja. Ada orang yang baik hati memberi beras dan biskut,” katanya yang bersyukur dengan keprihatinan masyarakat.
Difahamkan, kawasan setinggan di pinggir lebuh raya itu mempunyai kira-kira 30 rumah dan merupakan tanah persendirian.
Kawasan Tengku Badar yang sering dikunjungi sukarelawan Reach Out Klang itu tidak memiliki ketua kampung. – 16 Julai, 2017.

Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Nur iezlilyanie · Ulasan