SAMAN sivil RM100 juta dilakukan keluarga penterjemah warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu berkaitan kematiannya akan menyaksikan sama ada bukti dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan boleh digunakan dalam prosiding sivil.
Peguam keluarga Altantuya memfailkan permohonan saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Ramkarpal Singh, peguam keluarga itu berkata undang-undang kini mempunyai pandangan berbeza sama ada penghakiman kes jenayah boleh digunakan dalam prosiding sivil.
“Ada perkara tak jelas. Ada orang kata boleh, ada kata tak boleh. Rasionalnya adalah anda perlu buktikan kes (dalam saman itu),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Plaintif saman itu adalah ayah Altantuya, Dr Setev Shaariibuu, ibunya Altantsetseg Sanjaa dan dua anak lelaki Altantuya.
Manakala, bekas anggota polis yang disabitkan membunuh Altantuya, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, kerajaan Malaysia dan penganalisis politik Abdul Razak Baginda disenaraikan sebagai defendan.
Sirul dan Azhar disabitkan bersalah membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman mati pada 2015. Azilah kini berada dalam senarai tahanan menunggu hukuman mati di Penjara Kajang, Sirul pula sedang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Australia selepas melarikan diri dari Malaysia.
Razak pula yang dikatakan menjalinkan hubungan sulit dengan Altantuya, didakwa kerana bersubahat dengan pembunuhan itu tetapi sudah dibebaskan tanpa perlu membela diri.
Beliau dilaporkan cuba mendesak plaintif dalam saman sivil itu membuktikan fakta pembunuhan yang sudahpun dibuktikan dalam prosiding jenayah.
“Kami cuba tidak melakukannya. Ia akan ambil masa bertahun jika kami perlu buktikan fakta itu sekali lagi,” kata Ramkarpal.
“Misalnya, sudah dibuktikan sebelum ini yang Sirul dan Azilah melepasi tol pada waktu tertentu pada hari jenayah berlaku. Adakah kami perlu telefon Plus sekali lagi untuk beri keterangan di mahkamah lagi? Ia tak masuk akal.”
Kerana permohonan plaintif, tarikh asal perbicaraan yang sepatutnya bermula pada 13 Ogos ditunda.
Mahkamah menetapkan 28 Ogos untuk mendengar permohonan di bawah Perintah 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk menentukan sama ada penghakiman jenayah boleh digunakan dalam prosiding sivil.
Ramkarpal berkata penundaan tarikh itu membenarkan plaintif melihat sama ada wujud maklumat baharu yang muncul dalam siasatan pembunuhan Altantuya yang kembali dibuka.
“Kami dalam proses untuk dapatkan lebih banyak maklumat. Apa sahaja yang baru dalam kes pastinya akan dimasukkan dalam prosiding sivil,” katanya.
Bulan lepas, Peguam Negara Tommy Thomas dan ayah Altantuya, Setev bertemu di Putrajaya untuk membuka kembali siasatan kes bunuh itu.
Pembunuhan Altantuya mengejutkan negara apabila warga Mongolia itu dibunuh di Shah Alam pada 2006. Selepas ditembak mati, mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera C4. Motif pembunuhan itu tidak pernah dikenal pasti. – 13 Julai, 2018.
Komen