PENGGUNA media sosial menyambut baik pelantikan orang bukan Islam ke jawatan tertinggi kehakiman negara meskipun terdapat kritikan pelbagai pihak berhubung isu tersebut.
Rata-rata mereka bersetuju dengan keputusan dibuat kerajaan dengan syarat pelantikan itu berdasarkan integriti individu tersebut demi masa depan negara.
Mereka turut membuat perbandingan antara pemimpin yang menjawat jawatan tersebut sebelum ini yang dikatakan tidak berintegriti dan hanya membazirkan wang negara.
Seorang pengguna Facebook, Ayan Pian berkata, “yang penting ada integriti tinggi…jangan jadi macam PM (perdana menteri) yang dulu..habis semua duit rakyat disapu”.
Aziz PJ pula berkata, “suka hati kau orang lah..kita kena pandang 10 ke 20 akan datang apa akan jadi pada Bumiputera dalam Malaysia ini.”
Seorang lagi pengguna Facebook, Farid FariddHas pula berkata, “Kalau lantik perdana menteri Islam yang asyik curi duit rakyat tak guna juga”.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan mempersoalkan rasional kerajaan melantik individu bukan Islam memegang jawatan tertinggi kehakiman negara.
Bagaimanapun, pengguna media sosial berkata perkara itu tidak sewajarnya menjadi isu di negara ini kerana terdapat banyak lagi masalah negara yang perlu dibimbangkan.
Pengguna Facebook Aswandi Andi berkata: “Tiada apa yang perlu dirisaukan, yang merisaukan kita ialah ramainya org Islam dan Melayu tidak mampu membeli rumah di Malaysia, ramainya graduan melayu menganggur kerana kurangnya penguasaan Bahasa Inggeris, ramainya melayu masih lemah dalam pengurusan kewangan…dan yg paling penting…ramainya Melayu yang buta mata tetap menyokong pemimpin yg jelas nyata korupsi.”
Manakala, ada juga yang berpandangan dalam Malaysia yang rakyatnya majmuk, pelantikan bukan Islam ke dalam jawatan tertinggi tidak perlu jadi isu.
Ahnim Jabo berkata,“tak bimbang pun aku…dah ini negara Malaysia, bermasyarakat majmuk sejak sebelum Merdeka lagi, nak buat camna (macam mana)! Nak salahkan siapa kalau bangsa lain menguasai ekonomi atau politik…perlu ke salahkan Tunku (Abdul Rahman) dulu? Atau British dulu, atau perlukah kita buat pembersihan etnik. Kita sendiri yang salah sebab emosi dan prejudis. Kita sendiri yang gagal menjaga bangsa dengan membawa contoh buruk, menipu, menyambut, meroyan, pastu ada hati nak jadi juara! Ada agama pun tunggang langgang.”
Manakala Nailun Hj Sallih pula berkata, “Najib buat rompakan terbesar di dunia, kau mengikut. 3 penjawat tertinggi kehakiman yang menegakkan keadilan, kau riuh macam ayam betina nak bertelur.”
Namun, terdapat juga pengguna media sosial yang memerli kerajaan berhubung pelantikan itu.
Contohnya pengguna Facebook, Nieysa Sarip yang menulis, “PM (perdana menteri) pun kalau boleh tak yah (payah) Melayu Islam dah.”
Dato Azman Fadlan Dato pula berkata: “Kenapa PM org Islam, bagi je la kat LGE (Lim Guan Eng).”
Kritikan Nasruddin tersebut tercetus susulan pelantikan Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara baharu, menggantikan Md Raus Sharif yang dilantik oleh pentadbiran terdahulu.
Malanjum ialah orang bukan Islam ketiga yang dilantik Putrajaya, selepas Tommy Thomas sebagai peguam negara dan Ahli Parlimen Liew Vui Keong dari Warisan Sabah sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad.
Kenyataan Nasrudin itu mendapat kecaman banyak pihak termasuklah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin yang berkata pelantikan bukan Islam sebagai ketua hakim, peguam negara dan anggota Kabinet tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. – 13 Julai, 2018.
Komen