E-kad jejaskan majikan dan ekonomi


Yasmin Ramlan

Pelaksanaan E-kad tertakluk kepada sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussein, 17 Julai, 2017.

BUKAN sahaja majikan, malah ekonomi negara akan turut terjejas dengan penahanan pendatang asing tanpa izin (Pati) selepas tamat tarikh program pendaftaran “Enforcement Card” (E-kad) pada 30 Jun lalu, kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan.

Shamsuddin berkata kepada The Malaysian Insight, beberapa industri seperti pembinaan, perladangan dan pertanian sedang melihat impak daripada penahanan Ops Mega E-kad yang dilakukan Jabatan Imigresen sejak 1 Julai.

“Terdapat ramai Pati dalam sektor pembinaan yang bersembunyi ketika ini. Tetapi pada masa sama, mereka yang datang secara sah juga akan berbuat sedemikian,” katanya yang menganggarkan kira-kira 900 ribu Pati berada di negara ini.

Beliau berkata ini secara tidak langsung akan menyumbang masalah kepada industri berkenaan kerana projek yang sepatutnya siap pada tarikh yang ditetapkan akan tergendala dan majikan akan mengalami kerugian.

“Perkara sama juga berlaku pada sektor pertanian kerana mereka yang berkerja di sektor ini kebanyakannya dari kalangan Pati. Bila penguatkuasaan yang ketat dikenakan terhadap mereka, akhirnya pengeluaran sayuran di Cameron Highlands contohnya, akan tidak cukup.

“Dan tentunya harga pula akan menjadi mahal. Ia akan beri impak kepada ekonomi,” katanya.

Katanya, meskipun pihak MEF tidak menyokong majikan yang berurusan dengan Pati, namun masalah ini perlu diketengahkan.

Ini kerana katanya, sejurus selepas penguatkuasaan dikenakan, kerajaan perlu memastikan prosedur dan tempoh pengambilan pekerjaan pekerja asing yang baru perlu dipermudahkan.

Pelaksanaan E-Kad dilaksanakan kepada sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

Sepanjang 1 sehingga 10 Julai, Imigresen mengadakan 502 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dan sebanyak 3,071 orang ditahan Imigresen dalam Ops Mega E-Kad.

Daripada jumlah keseluruhan Pati yang ditahan, warga Bangladesh mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 1,160 orang, diikuti warga Indonesia seramai 695 orang, Myanmar 231, Vietnam 116, Thailand 111, Filipina 95 dan jumlah selebihnya dari negara lain.

Seramai 2,429 orang merupakan Pati lelaki, 570 Pati perempuan dan 15 Pati kanak-kanak.

Majikan khuatir pendaftaran tidak menguntungkan mereka 

Shamsuddin berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan majikan enggan mendaftarkan pekerja mereka pada program ini.

Katanya, pada awalnya pemberian kad yang diberikan secara percuma dan tanpa kos pendaftaran ketika ia diperkenalkan, tetapi Imigresen mengubah dasar ini semasa tempoh pendaftaran.

Majikan perlu menanggung kos pendaftaran sebanyak RM600, separuh daripada yuran pendaftaran sepatutnya.

“Ini ialah bentuk salah guna sistem. Majikan diminta bayar separuh yuran pendaftaran sebaik sahaja pendaftaran e-kad dibuat.

“Bayaran penuh perlu dilakukan sebaik sahaja proses permohonan penggajian dan penempatan semula selesai. Jadi bila mereka (majikan) disuruh bayar separuh, itu dah berjumlah RM600,” katanya.

“Apabila bayaran sebegitu diperkenalkan, majikan enggan mendaftar pekerja dan sekalipun mereka daftar, masih ada peluang E-kad tidak dikeluarkan atau E-kad tidak dilanjutkan untuk menggaji atau menempatkan semula pekerja, jadi duit yang dibayar itu akan dikira hangus.

Seramai 1,160 warga Bangladesh, Indonesia (695), Myanmar (231), Vietnam (116), Thailand (111), Filipina (95) dan lain-lain ditahan dalam operasi besar-besaran selepas tamat tarikh permohonan pendaftaran E-kad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Julai, 2017.

Jadi itu sebenarnya menjadi satu kekangan besar kepada majikan,” katanya.

Menurutnya, majikan yang mengambil Pati bekerja khuatir sekiranya mereka berdaftar dan data mereka akan disimpan Imigresen untuk tujuan tertentu pada masa akan datang.

“Dan mereka juga khuatir mereka akan diletak dalam senarai hitam. Jadi ini amat membimbangkan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Mustafar Ali dilaporkan berkata hanya 23% daripada sasaran 600,000 Pati di negara ini yang mendaftar di bawah program E-Kad.

Manakala, bagi salah seorang majikan yang enggan namanya didedahkan  pula berkata, syarat ketat dan terlalu banyak juga menyumbang kepada keengganan majikan mendaftar di bawah program ini terutamanya kepada majikan yang menguruskan perniagaan kecil-kecilan.

“Contohnya, mereka yang ada perniagaan kecil tidak mempunyai lesen penuh dan tidak layak untuk mendaftar. Jadi macam mana tu?

“Cuma ada juga daripada mereka (majikan perniagaan kecil) takut sekiranya mereka dikejar LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri),” katanya.

Beliau yang mendaftarkan pekerjanya di bawah sistem itu turut merungut perlu membayar RM600 bagi seorang pekerja.

Katanya, tidak berbaloi untuk majikan mengeluarkan wang sebanyak itu, lebih-lebih lagi jika mereka perlu berdepan perangai Pati yang sering “lari” daripada majikan.

“Ada sesetengah majikan tidak mahu terlibat dengan program ini sebab mereka tahu dengan perangai pekerja asing yang bekerja dalam tempoh yang sekejap dan lari kerja dengan majikan lain. Rugi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Shamsuddin yang turut bersetuju dengan situasi yang dialami majikan itu, mencadangkan supaya syarat dan prosedur tersebut dipermudahkan majikan.

Beliau berkata, sepatutnya Pati hanya boleh diambil bekerja oleh majikan yang mendaftarkan mereka.

Namun terdapat banyak kekeliruan yang timbul dalam kalangan Pati itu di mana dengan menggunakan E-kad berkenaan, mereka boleh mendaftar dengan majikan yang lain.

“MEF cadangkan jangan minta majikan untuk datang mendaftar tetapi minta pekerja asing itu saja datang mendaftar. Dan selepas mereka diberikan E-kad itu, majikan boleh datang memohon untuk ambil mereka bekerja,” katanya.

Katanya, kos RM600 itu merupakan kos yang tinggi untuk majikan.

Tambahnya, kebanyakan majikan yang mengambil Pati merupakan majikan-majikan kecil yang kebanyakan bisnes mereka tidak didaftarkan secara penuh dan tiada lesen-lesen yang tertentu.

“Sebagai contoh, majikan itu ada syarikat manufacturing (pembuatan) yang kecil, beroperasi dari rumah kedai sebagai contoh. Tentulah dia tidak ada lesen yang penuh,” katanya.

“Kalau kita perhatikan program E-kad ini, sistem untuk mendaftar itu sama macam skim terdahulu, di mana pihak kerajaan pun tahu skim terdahulu tidak menarik majikan mendaftarkan Pati, tapi ia diulang semula.

“Sebab itu saya rasa keputusan itu agak serupa dengan apa yang berlaku terdahulu,” katanya.

Apa itu E-kad? 

Program E-kad merupakan satu inisiatif yang dilancarkan kerajaan untuk memberi peluang kepada Pati tanpa dokumen perjalanan yang sah dan bekerja secara haram di Malaysia diberikan kad kebenaran bekerja sementara bagi memenuhi sektor formal yang dibenarkan.

Majikan dan Pati yang didaftarkan kemudian perlu mendapatkan dokumen (pasport) daripada pihak kedutaan yang berkenaan bagi membolehkan Pati tersebut diputihkan melalui program ini.

Program ini khas untuk Pati tanpa dokumen perjalanan yang sah dan bekerja secara haram di negara ini. Ia merupakan kaedah tapisan awal kepada majikan dan Pati tanpa dokumen bagi membolehkan kelulusan bersyarat diberi secara terus kepada Pati untuk mendapatkan dokumen yang sah. Seterusnya majikan dan Pati terlibat memohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara terus di Jabatan Imigresen. – 17 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen