KERAJAAN Pulau Pinang tidak memikirkan model pembiayaan alternatif untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang mencecah bilion ringgit itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata model pembiayaan masih lagi bergantung kepada projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) – pelan mega untuk menambak tiga pulau sekitar perairan selatan kawasan pulau negeri itu.
Pulau tambakan itu akan dibida untuk membiayai PTMP, yang bermakna kelulusan PSR sangat penting untuk menentukan kelangsungan pelan induk itu.
“Jadi kita perlukan tambakan itu diluluskan sebelum kita boleh mula (PTMP),” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Sebelum itu, Chow mengumumkan laporan kedua Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Pan Island Link iaitu sebahagian daripada projek dalam PTMP yang dibuka untuk pameran awam.
Projek mega PTMP itu akan dilaksanakan oleh rakan penyampai projek, SRC Consortium yang kata Chow masih belum dibayar satu sen untuk projek itu.
“SRS masih belum dibayar sehingga hari ini. Jika EIA lulus, tetapi tambakan tidak, kita akan ada situasi (masalah).
“Kita mungkin perlu cari pembiayaan lain atau menyerahkan projek ini kepada kerajaan persekutuan untuk dilaksanakan,” katanya.
Tahun lepas, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan enakmen membolehkan kerajaan negeri membuat pinjaman mudah dari Export-Import Bank of China (Exim) untuk PTMP. Pinjaman itu sekiranya berlaku akan digunakan untuk membiayai PSR. – 13 Julai, 2018.
Komen