Pulau Pinang mahu bina terowong rentas Bukit Bendera


Looi Sue-Chern

Terowong sepanjang 10.5km itu adalah sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Island Link (PIL) sepanjang 19.5km yang menghubungkan Persiaran Gurney di utara pulau dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang di selatan pulau itu, umum Ketua Menteri Chow Kon Yeow. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2018.

KERAJAAN Pulau Pinang hari ini mendedahkan rancangan untuk memperkenalkan satu lagi projek terowong untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang semakin buruk di kawasan pulau negeri itu.

Terowong sepanjang 10.5km itu adalah sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Island Link (PIL) sepanjang 19.5km yang menghubungkan Persiaran Gurney di utara pulau dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang di selatan pulau itu.

Terowong itu adalah 70% daripada PIL yang memotong Bukit Bendera dan bukit di Paya Terubong dan Sungai Ara.

Perkara ini didedahkan hari ini apabila Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan laporan kedua Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) (EIA) PIL yang kini di buka untuk pameran awam selama 30 hari sehingga 10 Ogos.

Projek PIL yang bernilai RM7.5 bilion adalah sebahagian daripada projek berbilion ringgit dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dengan SRS Consortium sebagai rakan penyampai projek.

Dalam menjelaskan cadangan terowong itu, Chow berkata penting untuk mempunyai laluan jaringan luar yang melencongkan trafik daripada kawasan pulau yang sudah sedia sesak.

“Melihatkan topografi pulau, kawasan tengah terdiri daripada bukit-bukau. Tanah rata yang ada pula telah digunakan untuk pembangunan.

“Kita perlu mempertimbangkan lebuh raya bertingkat dan terowong seperti di Kuala Lumpur yang akan melencongkan trafik dari bandar,” katanya pada sidang media di Komtar ketika mengumumkan EIA itu.

Mengenai terowong yang melalui Bukit Bendera, Pengarah Projek SRS Szeto Wail Loong berkata ia akan berada sekurang-kurangnya 100m di atas puncak bukit.

Katanya, cadangan yang ada adalah untuk membina jejambat tetapi terowong akan membenarkan pembinaan tidak merosakkan hutan dan kawasan sensitive.

Katanya lagi, terowong juga tidak akan menjejaskan operasi kereta kabel.

Projek PIL juga akan menyaksikan pembinaan lebuh raya bertingkat setinggi 250m melintasi kawasan rekrasi popular dan kawasan hijau utama di pulau, Taman Perbandaran Pulau Pinang (Youth Park).

Chow berkata lebuh raya bertingkat itu adalah keperluan projek tersebut.

Menyedari kepentingan Youth Park, Chow berkata SRS mencadangkan pembinaan dua jambatan kabel panjang melintasi kawasan itu dengan hanya dua tiang untuk memelihara kawasan hijau itu sebaik mungkin.

“Youth Park akan terus jadi Youth Park bila projek disiapkan,” katanya.

Projek PIL juga akan memberi kesan kepada 234 bangunan pelbagai jenis, tetapi Chow berkata pelaksanaan projek akan dilakukan dengan gangguan minimum kepada alam sekitar dan aktiviti harian orang awam.

“Kerajaan negeri dan perunding EIA akan memberi respond kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai semua pertikaian bertulis diberikan orang awam sepanjang pameran awam.

“Maklum balas daripada rakyat akan diteliti kerajaan negeri dan dihantar kepada Ibu Pejabat JAS untuk semakan. Maklum balas kami akan dimasukkan dalam laporan akhir EIA projek.”

Sebaik disiapkan, PIL akan menjadi laluan pintasan strategik sebagai lebuh raya utara selatan kedua di pulau selepas Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu untuk memecahkan aliran trafik.

Lebuh raya PIL baharu itu tidak akan dikenakan tol.

Orang awam yang berminat menghantar maklum balas dan komen perlu melakukannya sebelum 24 Ogos. Mereka boleh menghantar maklum balas mereka kepada ketua pengarah JAS di Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli.

Laporan EIA itu boleh dilihat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang pada waktu pejabat di beberapa lokasi di Pulau Pinang, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Laporan juga boleh dibaca di laman sesawang JAS , kerajaan Pulau Pinang, PTPM dan perunding EIA Wiranda Sdn Bhd. – 13 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen