WAKIL Barisan Nasional (BN) dalam lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melepaskan jawatan masing-masing selepas menerima surat rasmi mereka.
Tujuh wakil BN itu meletak jawatan semalam selepas bertemu dengan Datuk Bandar KL Md Amin Nordin Abdul Aziz.
Ng How Doo daripada MCA berkata surat itu mengarahkan sesiapa yang berada dalam badan berkanun Wilayah Persekutuan seperti lembaga penasihat atau lantikan politik perlu meletak jawatan secara sukarela.
“Kami bersetuju untuk letak jawatan memandangkan mereka (kerajaan) tidak memerlukan khidmat kami lagi.
“Permintaan itu menerusi saluran yang betul, jadi kami bersetuju menarik diri daripada jawatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ahli lembaga BN dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan kepada syor daripada bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk dua tahun, bermula 2017.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad sebelum ini berkata semua wakil BN dalam lembaga penasihat DBKL diminta melepaskan jawatan masing-masing serta-merta.
Ahli BN berkenaan yang semuanya lantikan politik, akan digantikan dengan ahli Parlimen Kuala Lumpur.
Ng berkata datuk bandar mengalu-alukan beas ahli untuk memberikan maklum balas berkenaan isu dalam bandar.
“Kami akan membantu DBKL jika kami ada sebarang maklum balas atau cadangan untuk membantu masyarakat,” katanya.
S.Rajah daripada MIC menjadi ahli lembaga BN yang pertama menghantar surat peletakan jawatannya kepada Amin pada 5 Mei.
Ahli lembaga lain yang meletak jawatan ialah Ng, Ahmad Faisal Abdul Karim (Umno), Rizalman Mokhtar (Umno), Mustapa Kamal Mohd Yusoff (Umno), Zainal Abidin Mohd Rafique (Umno), A. Samalah (MyPPP) and Wilson Lau Hoi Keong (Gerakan). – 13 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan