PRK Sg Kandis jadi ujian untuk Pakatan, kata Bersih


Sheridan Mahavera

Pengerusi Bersama Bersih Shahrul Aman Mohd Saari berkata PRK Sungai Kandis juga akan menguji sejauh mana SPR bebas dan tidak memihak ketika pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2018.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis akan menjadi medan ujian sama ada kerajaan baharu adalah berbeza daripada Barisan Nasional (BN), ketika pilihan raya.

Ia akan menguji kempen pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam PRK itu yang dijadualkan pada 4 Ogos, dan sejauh mana mereka tidak akan mencampuri urusan Suruhanjaya Pilihan Raya, kata kumpulan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0.

“PH sekarang ada banyak wang (kerana ia kerajaan), jadi amat penting untuk mereka tahu kesalahan yang tidak patut dilakukan.

“Mereka tidak sepatutnya melakukan kesalahan sama seperti kerajaan terdahulu,” kata Pengerusi Bersama Bersih Shahrul Aman Mohd Saari.

PRK itu juga akan menguji sejauh mana SPR akan bebas dan tidak memihak ketika pilihan raya.

Satu perkembangan positif setakat ini ialah Bersih 2.0 dijemput untuk memantau pilihan raya itu secara rasmi.

“Kami memohon untuk dibenarkan menghantar 109 pemerhati bagi setiap saluran mengundi. Tetapi SPR minta kami hantar kurang,” kata Shahrul Aman.

“Sekurang-kurangnya kami tahu mereka akan lebih telus kali ini berbanding dulu.”

Badan pemantau pilihan raya itu sebelum ini dilarang daripada menghantar pemerhati.

Bersih dan PH sebelum ini mendakwa BN menyalahgunakan sumber kerajaan untuk berkempen dalam PKR dan pilihan raya umum.

Kesalahan itu termasuk menggunakan penjawat awam dan jentera birokratik berkempen untuk calon BN dan mengumumkan peruntukan kerajaan ketika tempoh kempen rasmi.

Semua itu dikatakan digunakan untuk mempengaruhi pengundi. Tindakan sedemikian boleh dianggap kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam laporan pemantauan pilihan raya Bersih berkenaan PRU14, kumpulan itu mengesan 46 kes rasuah dan beli undi ketika 11 hari tempoh kempen.

Bersih, bersama Suaram dan Pusat Komas, berkata terdapat juga 196 kes hadiah diberikan untuk mempengaruhi pengundi, selain 105 insiden salah guna jentera kerajaan.

Majoriti kesalahan itu dilakukan oleh calon BN.

SPR juga didakwa berpihak kepada BN dan menutup mata kepada kesalahan dilakukan bekas gabungan pemerintah kerajaan itu.

Laporan PRU14 dihantar kepada SPR dan akan diserahkan kepada ahli kerajaan baharu.

PH menewaskan BN pada pilihan raya 9Mei, dan berjanji untuk mengubah sistem pilihan raya. Tetapi ia masih belum berbuat apa-apa memandangkan perubahan itu memerlukan beberapa undang-undang dipinda.

“PRK Sungai Kandis perlu dijalankan dengan standard lebih tinggi berbanding PRU sebelum ini. Kesalahan seperti itu tidak boleh berulang,” kata Shahrul Aman.

SPR menetapkan 21 Julai hari penamaan calon dan 4 Ogos hari mengundi bagi PRK Sungai Kandis.

Kerusi itu kosong selepas Adun daripada PKR Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia kerana barah minggu lalu.

Shuhaimi menang kerusi itu dengan 23,998 undi dalam pertandingan empat penjuru pada 9 Mei.

PKR masih belum mengumumkan calonnya, sementara PAS berkata ia akan hanya bertanding jika parti pembangkang lain tidak berbuat demikian. – 13 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen