MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail hari ini meminta bekas perdana menteri Najib Razak agar tidak “memutarbelitkan” isu harga barang.
Menteri dari PKR yang baharu dilantik itu berkata, terdapat beberapa sebab mengapa sesetengah harga barangan tidak turun sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) turun ke kadar sifar.
“Saya berterima kasih kepada beliau (Najib) atas kenyataannya. Ini merupakan kali pertama beliau menunjukkan sikap ambil berat dan peduli terhadap rakyat.
“Sepanjang beliau menjadi perdana menteri, beliau hanya menyebabkan banyak kerosakan kepada negara, yang mana kita sedang perbaiki sekarang. Kita tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak melaksanakan janji kita.
“Sejak kerajaan Pakatan menetapkan kadar sifar terhadap GST pada 1 Jun, kita akan cuba untuk memansuhkannya di Parlimen,” katanya kepada pemberita di Komtar hari ini.
Semalam, Najib berkata beliau terkejut apabila kerajaan kini “mengakui” GST bukan punca kenaikan harga barangan.
Ahli Parlimen Pekan yang hilang kuasa selepas Pilihan Raya Umum ke 14 itu membuat kenyataan di Facebook selepas membaca laporan berita bahawa harga barangan tidak turun selepas GST dikenakan pada kadar sifar.
PH, ketika menjadi pembangkang, berulang kali menyerang pentadbiran Najib yang mengenakan 6% GST, dan menyalahkannya menjadi punca kenaikan kos sara hidup.
PH juga berjanji untuk memansuhkan cukai tambahan itu sekiranya diberi mandat untuk menerajui kerajaan persekutuan.
Saifuddin berkata kementeriannya melakukan pemantau terhadap harga barangan setiap hari dan mengakui jumlah aduan yang diterima daripada pengguna meningkat sejak GST dikenakan pada kadar sifar.
“Lebih separuh daripada aduan adalah mengenai harga di premis makanan, terutamanya restoran India Muslim dan kafeteria. Namun ini merupakan isu disiplin dan etika pengendali premis makanan.
“Najib tidak perlu memutarbelitkan isu yang melibatkan etika peniaga,” katanya.
Saifuddin juga memberitahu Najib peningkatan kos sara hidup bukan disebabkan oleh kenaikan harga barangan sepenuhnya.
“Faktor lain seperti kos perumahan, pendidikan, kesihatan, pengangkutan, utiliti dan juga makanan menyumbang kepadanya. Beliau tidak sepatutnya tuding jari kepada satu segmen sahaja.”
Menteeri itu juga menggalakkan Najib untuk hadir pada sidang Dewan Rakyat, yang akan bermula Isnin depan untuk mengambil bahagian dalam perdebatan.
“Saya harap beliau hadir setiap hari dan tidak ‘ponteng’ seperti ketika beliau jadi perdana menteri. Kita akan jawab soalannya.”
Saifuddin juga berkata, kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang ingkar yang melanggar peraturan harga kawalam, seperti merampas barangan mereka, menyaman dan mengheret mereka ke mahkamah. – 13 Julai, 2018
Komen