MAHKAMAH Rayuan mengambil pendekatan regresif dalam memutuskan kerajaan berhak menyekat Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua membuat perjalanan ke luar negara, kata seorang peguam.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam Surendra Ananth berkata, isu sekatan perjalanan menjadi perdebatan besar sejak 1970-an, di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan hak untuk membuat perjalanan ke luar negara tidak dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam kes individu yang didakwa dalam prosiding jenayah.
“Saya tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan tetapi Mahkamah Rayuan membuat keputusan berdasarkan keputusan mahkamah persekutuan.
“Untuk mengatakan Mahkamah Rayuan silap adalah satu kesalahan, tetapi Mahkamah Rayuan mengambil pendekatan yang sangat regresif (bersifat mundur),” katanya dalam forum mengenai sekatan perjalanan ke luar negara yang diadakan di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya hari ini.

Pada 5 Julai, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Pua untuk mengetepikan penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan semakan kehakiman pada Julai 2016 yang mencabar larangan perjalanan ke atasnya. Hakim Mohd Zawawi berkata tidak ada sebab bagi panel itu untuk campur tangan keputusan Mahkamah Tinggi yang kemudiannya menyebabkan beliau menolak permohonan itu tanpa sebarang kos.
Dalam permohonan semakan kehakimannya, Pua mendakwa dia dihalang meninggalkan Malaysia ke Yogyakarta, Indonesia pada 2 Julai 2015 menggunakan pasportnya yang sah hingga 23 April 2020. Pua mendakwa keputusan itu tidak termaktub di bawah undang-undang kerana ia bercanggah dengan haknya untuk membuat perjalanan ke luar negara menggunakan pasport yang sah.
Perkara 5 (1) menyatakan tidak ada individu yang akan dilucutkan hak untuk hidup atau kebebasan peribadi kecuali mengikut undang-undang. – 15 Julai, 2017.
Komen