RAKYAT Malaysia mesti bangun daripada tidur dan berusaha untuk mewujudkan lebih banyak kesedaran tentang isu-isu kebangsaan dan semasa, termasuk larangan perjalanan yang dikenakan kerajaan ke atas orang yang berpengaruh, kata seorang ahli panel dalam sebuah forum ‘Travel Ban’ mengenai sekatan perjalanan yang diadakan di pejabat Malysiakini.
Penulis Mariam Mokhtar berkata, isu-isu seperti keratan kadbod Shell adalah gangguan untuk mengalih isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau saman terbaru oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
“Selama 60 tahun kita tidur, adakah kita akan bangun? Kita tak perlu tidur untuk 40 tahun lagi, kita perlu bangun sekarang.
“Ini masalah Malaysia, seperti ‘Sleeping Beauty’ kita tidak tahu bila kita akan bangun, menunggu ‘Prince Charming’ mengejut kita,” kata ahli panel itu melalui Skype.
Beliau berkata larangan perjalanan yang dikenakan ke atas individu seperti kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque yang lebih dikenali sebagai Zunar dan aktivis Hishamuddin Rais adalah cara untuk mengunci mulut mereka dan menghentikan mereka daripada menonjolkan isu-isu yang melanda negara.
“Kesedaran kita sangat teruk. Seperti penduduk kampung, adakah mereka tahu tentang apa yang berlaku apabila anda memberitahu mereka tentang 1MDB. Ia sangat rumit sehingga seseorang perlu membuatnya lebih mudah untuk mereka,” kata beliau sambil menggesa setiap orang menjalankan peranan mereka dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu semasa.
Beliau berkata pemikiran orang Melayu juga perlu diubah kerana ada yang percaya kepada retorik politik seperti DAP hanya untuk orang Cina dan Malaysia akan dipimpin perdana menteri bukan Islam jika parti itu memerintah.
“Tiba-tiba semua orang Melayu yang mahu mengundi pembangkang akan mengubah fikiran mereka dan membuat ‘U-turn’. Sehingga dan kecuali jika anda dapat menangani masalah pemikiran ini di kalangan orang Melayu, tidak ada apa yang akan berlaku,” katanya.
Beliau juga menambah bahawa agama juga digunakan untuk mengawal orang Melayu dan persepsi mereka tentang isu-isu tertentu.
“Masalahnya ialah Ulama (pendakwah) bersama dengan Umno, mereka tahu mereka tidak boleh melakukannya secara bersendirian, jadi mereka masukkan unsur ketuhanan dan orang Melayu tidak akan pernah melawan tuhan,” katanya.
Ahli panel lain di forum yang diadakan di pejabat Malaysiakini itu ialah Hishamuddin Rais dan Zunar yang dilarang membuat perjalanan ke luar negara, dan peguam Surendra Ananth. – 15 Julai, 2017.
Komen