NAMA Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak termasuk dalam senarai PKR bagi jawatan menteri kerana alasan praktikal, kata Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata ketiadaan Azmin dalam senarai disebabkan beliau sudah mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor.
Saifuddin menafikan terdapat perbalahan antara Azmin dengan pemimpin parti.
“Apabila kami berada dalam kedudukan memilih yang terbaik dalam kepimpinan parti dan kami mempunyai Azmin sebagai MB, kami tidak memasukkannya dalam senarai kerana beliau sudah mengangkat sumpah.
“Oleh itu, tidak adil mengatakan kami tidak meletakkannya kerana beberapa perbalahan memandangkan beliau adalah sebahagian daripada kepimpinan,” kata Saifuddin, yang kini menjadi menteri perdagangan dan hal ehwal pengguna.
Saifuddin, yang terlibat dalam penyediaan senarai itu kepada Dr Mahathir Mohamad, berkata parti bersetuju tugas melantik menteri dan membuat keputusan portfolio adalah hak perdana menteri.
“Pada masa itu Azmin adalah MB Selangor dan jelas beliau tidak termasuk. Tiada yang salah atau mencurigakan mengenainya.
“Beliau mengetuai negeri terkaya di Malaysia dan berjaya dengan baik selepas mengambil alihnya daripada Khalid Ibrahim yang mempunyai banyak isu kontroversi. Beliau juga mewujudkan kestabilan dan merupakan pentadbir yang sangat baik,” kata ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara di pejabatnya semalam.
Azmin, walaupun tersisih daripada senarai 10 nama yang diberikan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir, dilantik sebagai menteri hal ehwal ekonomi bulan lepas.
Bekas MB Selangor itu mempunyai beberapa perselisihan dengan kepimpinan parti bermula dengan penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14.
Parti yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menolak lapan nama yang dicadangkan oleh Azmin pada April. Parti itu juga berselisih pendapat mengenai siapa yang harus menggantikan Azmin sebagai MB Selangor baru-baru ini.
Saifuddin menambah Dr Mahathir juga melantik menteri yang namanya tidak dicalonkan oleh pihak lain seperti DAP dan Amanah.
Anwar jadi pendamai
Mengakui terdapat rasa tidak puas hati dalam parti selepas kekecohan Azmin, Saifuddin berkata Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim melakukan tugas yang sangat baik untuk menenangkan pemimpin PKR lain.
Beliau berkata ia bermula pada perhimpunan PKR di Hotel One World bulan lepas.
Semasa pertemuan dengan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, Anwar memberi arahan jelas kepada semua agar menyokong Dr Mahathir, kata Saifuddin.
“Beliau memberitahu mereka bahawa kemenangan bukan mengenai kerusi yang dimenangi atau kedudukan yang diberikan selepas pilihan raya. Makna kemenangan adalah kemampuan parti untuk menterjemahkan mandat dan kuasa diberikan untuk merealisasikan agenda reformasi.
“Anwar berkata mereka yang dipilih bukanlah yang terbaik dalam parti dan semua orang perlu mempunyai perasaan rendah diri. Beliau memberitahu mereka hanya ‘bernasib baik kerana dipilih’,” kata menteri itu.
Nasihat Anwar itu berjaya menenangkan semua orang dan mengarahkan mereka kembali memberi tumpuan kepada isu-isu penting, kata Saifuddin. – 13 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan