Bersatu terima 1,000 permohonan keahlian setiap hari


Looi Sue-Chern

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Marzuki Yahya berkata sejak PRU14, ia menerima banyak permohonan penyertaan keahlian setiap hari dan akan mengumumkan jumlah terkini pada September nanti. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Julai, 2018. "

SELEPAS kekalahan Umno pada pilihan raya umum 9 Mei, parti serpihannya Bersatu membuat kemajuan besar dengan pengerusinya muncul sebagai perdana menteri.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Marzuki Yahya berkata parti berusia dua tahun itu menarik banyak minat, memperolehi kira-kira 1,000 permohonan keahlian setiap hari.

“Permohonan keahlian semakin meningkat setiap hari, terutamanya melalui aplikasi dalam talian.

“Ibu pejabat kami berkata mereka menerima kira-kira 1,000 permohonan dari seluruh negara setiap hari,” katanya pada majlis rumah terbuka Hari Raya Pulau Pinang di Sungai Dua, Tasek Gelugor malam tadi.

Marzuki, yang juga ketua Bersatu Pulau Pinang, berkata terdapat juga ramai yang berminat  menyertainya di negeri ini.

“Kami kini mempunyai kira-kira 10,000 ahli dan 198 cawangan di negeri ini. Saya akan mengumumkan jumlah terkini ahli pada 1 September, apabila kita mengadakan mesyuarat Bersatu negeri.”

Peningkatan minat terhadap Bersatu, katanya, menyaksikan ramai ahli Umno meninggalkan parti lama.

“Ia adalah satu tanda perubahan, yang baik untuk kita bagi menuju pilihan raya umum akan datang.

“Bersatu akan meneruskan perjuangan Melayu, dan kita akan memastikan orang Melayu maju tanpa rasuah, tidak seperti dahulu.”

Ramai ahli dalam Bersatu sebelum ini daripada Umno, termasuk pemimpin pengasasnya - pengerusi Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan perdana penteri; dan Presiden Muhyiddin Yassin, yang juga menteri dalam negeri.

Marzuki, yang juga bekas ahli Umno berkata parti lama tidak lagi relevan dan Bersatu menyambut ahli Umno untuk menyertai parti pemerintah baru itu.

“Kami akan mengambil ahli parti biasa tetapi kita perlu membuat saringan mereka yang mempunyai kedudukan kepimpinan dalam Umno.

“Majlis presiden akan membuat keputusan akhir sama ada Bersatu akan menerima atau tidak,” katanya.

Berikutan prestasi buruk dalam pilihan raya umum, beberapa wakil rakyat Umno dan ahli-ahli terkemuka keluar parti.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali, Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal, Ahli Parlimen Masjid Tanah dan bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin, Adun Tambun Tulang Ismail Kassim dan bekas menteri Syed Hamid Albar.

Bulan lepas, 10 pemimpin cawangan Umno Rembau dan Rasah serta bekas pemimpin cawangan di Negeri Sembilan keluar parti dan memberi sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan. – 13 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen