PKR Selangor hanya mengemukakan satu nama – Naib Ketua AMK Radzlan Jalaludin sebagai calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, kata sumber.
Sumber daripada PKR Selangor itu berkata, barisan pemimpin negeri mencapai kata sepakat mengemukakan nama Radzlan yang dilihat sebagai calon yang berpotensi menang pilihan raya kecil itu.
“Kita sudah hantar selasa tapi belum dapat reaksi kerana Presiden ke Turki. Pimpinan negeri telah pilih dan seharusnya pusat kena terimalah,” kata sumber berkenaan yang enggan dinamakan.
Menurutnya, nama peguam itu sudah dua kali dikemukakan oleh PKR negeri sebagai calon untuk bertanding dalam ini pilihan raya umum terdahulu.
Nama beliau dipilih oleh PKR Selangor untuk menjadi calon DUN Kota Damansara pada 2013 dan 2018 namun ditolak peringkat pusat.
“Jika tidak terpilih. Maknanya ini kali ketiga namanya ditolak sebagai calon,” kata sumber tersebut kepada The Malaysian Insight.
Radzlan, 38, merupakan penyelaras Dewan Negeri Kota Damansara, Selangor sejak 2013.
Anak kelahiran Ipoh, Perak itu merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang undang-undang.
Beliau juga terlibat dalam AMK peringkat nasional sejak 2014 dan berpengalaman membela aktivis yang didakwa dengan tuduhan bermotifkan politik seperti Akta Hasutan.
Menurut sumber, ia menepati ciri calon yang diinginkan parti.
“Kita hendak calon muda berlatar belakangkan undang-undang dan aktivisme yang boleh berkhidmat untuk masyarakat dan ini terbukti pencapaian Radzlan selaku bekas Penyelaras Dun Kota Damansara,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, Radzlan ketika dihubungi berkata beliau belum menerima sebarang berita sama ada namanya dicalonkan oleh PKR negeri.
“Saya hanya dapat info melalui media dan setakat ini tiada mana pimpinan tertinggi maklum secara rasmi. Tetapi saya sentiasa bersedia memikul arahan parti sekiranya dicalonkan,” katanya.
Dua lagi nama yang disebut-sebut sebagai calon untuk kerusi tersebut adalah bekas Adun Kota Anggerik Yaakob Sapari dan bekas Yang Dipertua Abim Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Menurut sumber, pucuk pimpinan parti dikatakan lebih gemar kepada Zawawi yang juga anggota biro agama PKR.
“Kita (PKR negeri) mahu Radzlan tetapi presiden mahu Ustaz Zawawi,” kata sumber PKR.
Zawawi merupakan pengundi Sungai Kandis dan kini memegang jawatan setiausaha kanan kepada Dr Shaharuddin Badaruddin, exco pendidikan Selangor.
Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali semalam mengesahkan tiga nama disenarai pendek untuk dipilih sebagai calon parti untuk pilihan raya kecil itu.
Ahli majlis pimpinan pusat PKR, Azmizam Zamanhuri juga ketika dihubungi enggan mengesahkan sekiranya nama Radzlan merupakan satu-satunya nama yang dikemukakan.
Azmizam sekadar berkata, calon itu hanya akan diumumkan pada minggu depan.
“Kita sedang dalam peringkat perbincangan dan peringkat pusat akan umumkan minggu depan,” kata Adun Pelabuhan Klang itu.
Tambahnya, pemilihan calon ini amat penting kerana Barisan Nasional dan PAS berkemungkinan bergabung malah menggunakan logo Umno.
“Jika satu lawan satu, kita kena berhati-hati dan kita tengok strategi dia mungkin tak guna lambang BN. Maka calon sangat penting kerana ini pertembungan peringkat nasional. Ini ujian pertama Pakatan Harapan,” katanya lagi.
DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya Mat Shuhaimi Shafie, 50, meninggal dunia di Pusat Perubatan (SJMC), Subang, Selangor pada 2 Julai lalu kerana kanser limfoma.
Dalam pilihan raya umum 9 Mei, allahyarham berjaya mempertahankan DUN tersebut untuk kali ketiga dengan meraih majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru. – 13 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan