TUGAS menangani kos sara hidup bergantung kepada penyelarasan kementerian dan sokongan daripada peniaga, kata menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna yang baru dilantik Saifuddin Nasution Ismail.
Hanya 10 hari menjalankan tugas barunya, ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu mengakui kementeriannya tidak boleh menurunkan kos sara hidup bersendirian.
“Apabila kenaikan tarif elektrik diumumkan baru-baru ini oleh Suruhanjaya Tenaga, ia menimbulkan persepsi buruk mengenai komitmen mengurangkan kos sara hidup. Dan kemudian kami mendapati kenaikan itu boleh ditangguhkan dan bahkan tidak menjejaskan kebanyakan pengguna domestik,” Saifuddin memberitahu The Malaysian Insight.
Beliau berkata faktor yang mempengaruhi harga makanan, utiliti, perumahan, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan menyumbang kepada kos sara hidup.
“Tetapi kementerian ini sahaja tidak dapat mengawal semua faktor ini.”
Justeru, untuk mengurangkan kos hidup, salah satu cabaran terbesar adalah membuat penyelarasan dengan kementerian lain.
Cabaran kedua baginya adalah cara mendidik pengguna dan memujuk peniaga menurunkan harga mereka selari dengan kos yang lebih rendah.
Beliau berkata secara umumnya benar terdapat restoran yang menaikkan harga tahun lepas mungkin tidak menurunkannya tahun ini walaupun lebih banyak subsidi diberikan atau kos lain diturunkan.
Saifuddin berkata kementeriannya baru-baru ini melakukan kajian membandingkan 10,000 restoran makanan segera dan restoran India-Muslim dan mendapati kira-kira 30% daripada aduan berkaitan dengan restoran itu.
Kajian mendapati lebih banyak restoran India-Muslim mengekalkan atau meningkatkan harga mereka berbanding restoran makanan segera.
“Kami boleh mengenakan denda kepada mereka tetapi ia bukan penyelesaian jangka panjang. Oleh itu, anggota penguatkuasa kami cuba meyakinkan dan mendidik mereka tentang manfaat menurunkan harga seiring dengan kos yang lebih rendah.”
Menurut setiausaha agung PKR itu, lebih 60% kakitangan kementeriannya berada dalam unit penguatkuasaan.
Tetapi ini adalah usaha yang sedang berjalan, katanya.
“Apabila saya bercakap dengan beberapa peniaga di Kedah, mereka mengakui perniagaan bertambah baik selepas cukai barang dan perkhidmatan menjadi sifar. Tetapi pengurangan harga lambat.
“Seperti makanan, misalnya, impaknya adalah minima buat masa ini kerana Malaysia mengimport banyak bahan makanannya,” katanya.
Menurut beliau, import makanan Malaysia bagi 2017 ialah RM51 bilion manakala eksportnya hanya RM31 bilion.
Salah satu cara, kata Saifuddin, kementerian sedang berusaha untuk mendidik pengguna mengenai hak mereka.
Walaupun mengawal harga adalah salah satu tugas utama kementeriannya, Saifuddin juga mengkaji semula monopoli tertentu daripada pentadbiran terdahulu.
“Monopoli tidak semestinya buruk tetapi monopoli yang tidak terkawal boleh menyebabkan kualiti perkhidmatan lebih mahal atau lebih rendah kepada pengguna.”
Menjadikan MyEG sebagai contoh, beliau berkata syarikat itu mempunyai monopoli bagi permit pekerja asing dalam talian (PLKS).
“Firma itu hanya menyediakan satu pilihan insurans untuk pekerja asing dan ini menghalang pemain industri lain dan memberikan pilihan terhad kepada para pekerja ini. Tugas kami adalah adalah menyemak jenis monopoli dan langkah ini untuk memastikan syarikat memberikan perkhidmatan lebih baik atau kos lebih rendah kepada pengguna.
“Akhirnya, ia adalah mengenai penggubalan dasar bagi memberi manfaat kepada pengguna akhir,” katanya. – 13 Julai, 2018.
Komen