MEREKA menyertai Umno ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden, melihat bagaimana perdana menteri paling lama berkhidmat itu menundukkan pengkritiknya dengan menggunakan sumber kerajaan bagi memastikan beliau kekal berkuasa.
Tetapi apabila Dr Mahathir meninggalkan Umno buat kali kedua pada Februari 2016, pemimpin akar umbinya tetap setia kepada parti, menyokong presiden Umno sekarang dan Perdana Menteri Najib Razak yang berdepan serangan hebat daripada banyak pihak berikutan kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dan kini, para ahli Umno ini bersedia menyerang Dr Mahathir, yang secara rasminya akan memimpin pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) menempuh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas pemilihannya sebagai pengerusi, yang menggandingkan dengan timbalannya, Anwar Ibrahim.
“Insya-Allah, Najib akan menang dalam pilihan raya umum akan datang. Dr Mahathir sudah ketinggalan zaman. Beliau seperti enjin lama yang mahu dinaik taraf. Beliau mahu membawa kepimpinannya yang lama. Ia tidak akan berkesan kepada orang muda,” kata Mohd Affendy, ketua penerangan cawangan Setia Alam kepada The Malaysian Insight.
Pemimpin berusia 40 tahun itu juga menolak pengaruh Dr Mahathir, dengan mengatakan rakyat terutama generasi muda, mahukan kepimpinan baru.
“Saya menyertai Umno ketika Anwar masih sebahagian daripada Umno. Saya dari Permatang Pauh.”
“Rakyat boleh lihat perbezaan corak pemerintahan Najib, apa yang dilakukannya berbanding apa yang Dr Mahathir lakukan. Dr Mahathir fokus kepada membangunkan Putrajaya dan pembangunan lain, sementara Najib buat macam-macam untuk rakyat seperti BR1M,” katanya merujuk kepada polisi yang diperkenalkan Najib itu.
Bagi Timbalan Ketua Pemuda Cawangan Sekyen 17 Rashid Mohd Said, Najib tidak akan terjejas kerana serangan Dr Mahathir bersifat memenuhi agenda peribadinya.
“Jika di zaman pemerintahan Dr Mahathir sudah ada media sosial, dia juga akan diserang. Tapi Dr Mahathir menyekat semuanya, tak seperti Najib sekarang. Di zaman Mahathir, kita tak boleh cakap apa-apa.”
Tambah Rashid lagi, dia yakin Umno akan menang sekali lagi dalam pilihan raya akan datang kerana rakyat boleh lihat pendirian tidak tetap Dr Mahathir dalam politik.
“Dr Mahathir mengambil kesempatan ke atas orang lain untuk faedah dirinya, dia tak kuat,” kata nya sambil menambah, pembangkang ketika ini dipergunakan Dr Mahathir.
Ketua Bahagian Umno Gombak Utara Zakaria Saidi Mara, 65 yang menyertai Umno pada 1959 berkata, mereka masih menghormati Dr Mahathir sebagai ‘negarawan’ tetapi penghormatan itu hilang selepas Dr Mahathir membuat banyak ‘U-turn’ dalam politik.
“Dulu dia ajar kami itu-ini, sekarang dia buat ‘U-turn’.”
Dr M tidak lagi berpengaruh
Zakaria berkata, dia tidak rasa Dr Mahathir boleh mempengaruhi ramai orang dalam pilihan raya akan datang.
“Dia memimpin kami selama 22 tahun dan sekarang dia buat ‘U-turn’. Sebagai ahli Umno, saya yakin kami akan menang dalam pilihan raya. Sama ada kami akan menang 2/3 majoriti, saya tak boleh nak kata. Dr Mahathir menggali kuburnya sendiri.”
Ahli Umno Gombak Abdul Jabbar Kassim, 81 berkata bagi sebagai ahli Umno paling lama, tindakan Dr Mahathir menyertai pembangkang adalah pelik.
“Saya akui Dr Mahathir buat macam-macam untuk negara semasa beliau memerintah tapi saya percaya dia dan sekutunya sekarang akan memusnahkan Malaysia.”
Seperti rakan ahli Umno yang lain, Jabbar juga percaya Dr Mahathir tidak akan memberi impak dalam pilihan raya akan datang.
“Beliau buat semua untuk kepentingan peribadinya. Seperti ada agenda peribadi.
“Kami masih setia dan percaya kepada Umno selama ini kerana mereka memperjuangkan Melayu,” kata Jabbar.
Bagi Ketua Bahagian Umno Cheras Syed Ali Alhabshee yang pernah mengetuai jawatankuasa protem Pemuda Umno pada 1994 menasihatkan Dr Mahathir supaya mempertimbangkan semula tindakannya untuk menumbangkan Umno kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Umno sekarang.
“Rakyat boleh lihat bagaimana Dr Mahathir menaiki tangga politik, Umno sudah lakukan macam-macam untuknya. Dia tak perlu libatkan semua orang hanya kerana marahkan orang lain.
Umno ialah parti untuk Melayu, dia tak boleh macam ini, dia kena fikir semula. Dia pernah banyak memberi tunjuk ajar tapi sekarang dia menunjukkan contoh bagaimana nak musnahkan fikiran,” katanya.
Ketua Pemuda Cawangan Jalan Loke Yew Suhaimi Abas pula berkata, Dr Mahathir banyak terhutang budi kepada Umno kerana Umnolah sebabnya beliau menjadi seorang pemimpin.
“Orang Umno beri banyak peluang kepadanya, jadi dia harus buat yang sama kepada Najib” kata lelaki berusia 43 tahun itu.
Nurul Izham Nurul Anuar yang juga ketua pemuda cawangan Sri Tanjung berkata, Dr Mahathir juga menggunakan retorik sama digunakan pemimpin lain yang meninggalkan Umno.
“Sebaik sahaja mereka meninggalkan parti, mereka bukan lagi pemimpin Umno. Mereka semua membawa agenda yang sama,” katanya. – 15 Julai, 2017.
Komen