Tiada salahnya jika logo PH serupa dengan Star Trek, kata Wan Azizah


Muzliza Mustafa

Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata logo baru Pakatan Harapan itu boleh ditafsirkan dalam banyak cara, tetapi baginya ia melambangkan harapan pembangkang untuk menukar kerajaan semasa ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka sempena Hari Raya di Kajang, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Julai, 2017.

PENGUMUMAN logo Pakatan Harapan (PH) menjadi bahan cemuhan di kalangan sesetengah pihak kerana simbol navigasi yang digunakan sebagai huruf “A” dalam perkataan “Harapan” dikatakan serupa dengan logo Star Trek.

Presiden parti pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail, bagaimanapun, menerima  kritikan itu dengan senyuman.

“Star Trek? Apa masalahnya?” kata Wan Azizah.

Adakah itu bermakna PH akan sampai ke tempat di mana sebelum ini tiada rakyat Malaysia yang berani?

Beliau berkata menewaskan Barisan Nasional (BN) akan menyamai slogan filem sains fiksyen Amerika yang terkenal itu.

“Ia agak sama seperti itu (petikan) kerana tiada siapa yang mengalahkan BN sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata simbol itu boleh ditafsirkan dalam banyak cara, tetapi bagi PH ia melambangkan harapan pembangkang untuk menukar kerajaan.

Beliau turut menolak kata-kata yang warna merah digunakan dalam logo menunjukkan PH didominasi Bersatu.

“Merah adalah warna umum, ia melambangkan kemenangan, keberanian,” kata Dr Wan Azizah.

Beliau berkata logo itu dicipta untuk menarik perhatian orang ramai.

Beliau bercakap kepada media di majlis rumah terbuka Hari Raya di kawasan Dewan Undangan Negeri Kajang hari ini.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad juga turut hadir.

Amanah, PKR, Bersatu dan DAP membentuk gabungan pembangkang untuk menentang BN yang dipimpin Perdana Menteri Najib Razak pada pilihan raya umum akan datang.

Najib adalah presiden parti politik tertua di Malaysia, Umno.

Umno, bersama parti komponen BN yang lain, seperti MCA dan MIC, mentadbir negara dengan hampir bebas sejak merdeka pada 1957.

Bagaimanapun, ia berdepan penurunan sokongan dengan pembangkang yang bangkit menidakkan penguasaan BN dengan majoriti tradisi dua pertiga sejak pilihan raya umum 2008. – 15 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen