SPR mahu Bersih kurangkan pemerhati pada PRK Sg Kandis


Bede Hong

Pemangku Pengerusi Bersih, Shahrul Aman Mohd Saari berkata SPR memaklumkan kepada beliau bahawa beberapa stesen mengundi mungkin tidak dapat menampung semua sukarelawan dari kumpulan masyarakat sivil lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2018.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) meminta Bersih 2.0 mengurangkan bilangan pemerhati, daripada 109 kepada 38 orang, kerana bimbang bilangan pemerhati yang ramai akan menghalang proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sg Kandis nanti.

Pemangku Pengerusi Bersih, Shahrul Aman Mohd Saari berkata SPR memaklumkan kepada beliau bahawa beberapa stesen mengundi mungkin tidak dapat menampung semua sukarelawan dari kumpulan masyarakat sivil lain.

“Dua pemerhati (dari Bersih) akan diletakkan di setiap stesen mengundi, tapi kita cuba mengekalkan bilangan yang fleksibel,” kata Shahrul kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan selama sejam dengan pegawai SPR di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini.

“Kita mungkin letak ramai pemerhati di stesen yang mempunyai lebih banyak saluran mengundi,” katanya.

Shahrul berkata permintaan SPR itu akan dibincangkan bersama Jawatankuasa Pemandu Bersih.

Setakat ini, terdapat juga kumpulan lain yang memohon untuk menghantar pemerhati pada PRK Sg Kandis termasuk Ideas, Suhakam dan Invoke. 

Shahrul menjangkakan Bersih secara purata akan mempunyai dua pemerhati di setiap 19 stesen mengundi di Sg Kandis.

Semalam, kumpulan itu berharap dapat menghatar lebih daripaada empat pemerhati di setiap stesen untuk memantau PRK yang akan diadakan pada 4 Ogos ini.

PRK Sg Kandis diadakan berikutan kematian Adun PKR Mat Shuhaimi Shafiei akibat barah lymphoma pada 2 Julai lalu. – 12 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen