Kami bersuara isu Zakir Naik dalam Kabinet, kata Gobind


Melati A. Jalil

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata isu berkenaan Zakir telah disuarakan beliau dan menteri lain iaitu Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran serta Menteri Sumber Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar dalam mesyuarat Kabinet semalam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2018.

WAKIL rakyat DAP Gobind Singh Deo membidas Gerakan kerana menuduh pemimpin India dalam Pakatan Harapan tidak bersuara mengenai isu membabitkan penceramah kontroversi Zakir Naik.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata isu berkenaan Zakir telah disuarakan beliau dan menteri lain iaitu Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran serta Menteri Sumber Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar dalam mesyuarat Kabinet semalam.

“Gerakan perlu tanya diri mereka sendiri, ketika mereka berada dalam kerajaan selama 61 tahun, apa yang telah mereka lakukan? Ia mengecewakan rakyat dan ini adalah sebab mengapa rakyat menolak mereka.

“Pendirian kami berbeza, kami bersuara dalam mesyuarat Kabinet, kami suarakan pandangan rakyat… Ketiga-tiga kami menyuarkan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran sebuah projek di Pusat Parcel Bersepadu (IPC) di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai kenyataan pemimpin Gerakan yang menuduh pemimpin India dalam PH tidak dapat menyakinkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mengekstradisi Zakir.

Zakir, yang dikehendaki pihak berkuasa India atas dakwaan menyokong aktiviti keganasan, meninggalkan India pada 2016 dan menetap di Putrajaya walaupun terdapat bantahan daripada kaum India tempatan.

Beliau diberikan status penduduk tetap di Malaysia dan Arab Saudi.

Malaysiakini awal hari ini memetik kenyataan Ketua Biro Hak Asasi Manusia dan Undang-Undang Baljit Singh yang mendakwa pemimpin India dalam PH gagal menunaikan janji yang dibuat semasa kempen PRU14 untuk mengekstradisi Zakir.– 12 Julai, 2018.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen