TINDAKAN PAS yang membantah pelantikan hakim-hakim bukan Islam dalam jawatan tertinggi bidang perundangan kerajaan menunjukkan sikap parti itu yang tidak Islamik dan berfikiran cetek.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan hari ini mendakwa pelantikan Richard Malanjum sebagai ketua hakim serta Tommy Thomas sebagai peguam negara dan Liew Vui Keong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) akan meletakkan hak orang Islam dalam bahaya.
Bagaimanapun, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata tidak adil bagi PAS menuduh Malanjum akan tidak akan menyebelahi orang Islam.
“Tuduhan itu tidak adil dan tidak berasas. Komen-komen PAS tak Islamik. Islam melarang pemisahan bangsa, agama atau warna kulit,” Haniff memberitahu The Malaysian Insight.
“Kalau Malanjum berat sebelah, bukankah awak bermaksud bahawa semua hakim Islam yang membuat banyak keputusan juga memihak kepada Islam?” katanya.
“Ini merupakan satu penghinaan terhadap Malanjum dan semua hakim secara keseluruhannya. Hakim tidak membuat keputusan dengan mendahulukan agama tetapi melihat dari kedudukan undang-undang,” katanya sambil menambah Malanjum adalah antara yang paling layak bagi jawatan ketua hakim.
Peguam Syahredzan Johan pula berkata PAS cuba untuk menakut-nakutkan orang Melayu, sama seperti yang dibuat Umno ketika parti itu mengawal kerajaan Persekutuan dahulu.
“‘Keresahan umat Islam’ dicipta oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Tantawi, yang mahu mengambil kesempatan terhadap ketakutan yang dicipta Umno selama ini. Ironinya, PAS sendiri yang mengekploitasinya,” kata Syahredzan, merujuk Nasrudin dengan nama ‘Tantawi’.
Syahredzan yang merupakan setiausaha politik kepada Lim Kit Siang juga berkata pelantikan Liew sebagai menteri undang-undang tidak akan mewujudkan konflik dengan perundangan Islam.
“VK Liew bukan menteri yang jaga agama. Beliau ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal perundangan, tidak merumuskan dasar-dasar berkaitan Islam.
“Portfolio beliau terhad kepada pentadbiran undang-undang seperti mahkamah dan peguam, bukan undang-undang substantif,” kata Syahredzan.
Beliau menegaskan bahawa pelantikan hakim-hakim bukan Islam tidak akan menjejaskan kedudukan agama ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Islam sebagai agama rasmi telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Pelantikan-pelantikan ini tidak akan menjejaskan kedudkan Islam,” katanya.
Pengarah Undang-undang Fortify Rights, Eric Paulsen berkata PAS cuba menjadikan pelantikan hakim sebagai isu perkauman untuk terus kekal di kalangan orang Melayu dan Islam. – 12 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Abdul Aziz Bidin · Ulasan