Mangsa serangan asid dipindahkan ke hospital lain


The Malaysian Insight

SEORANG eksekutif atasan di Bursa Malaysia, yang disimbah asid pada Selasa, dipindahkan ke Pusat Perubatan Prince Court bagi keselamatan lebih baik.

The Malaysian Insight melawat Hospital Tung Shin, di mana mangsa kali pertama menerima rawatan pagi ini dan dimaklumkan mangsa sudah dipindahkan atas alasan keselamatan dan privasi.

Mangsa, Eddie Yeo Kia Loke, adalah naib presiden kanan bagi pemantauan korporat di Bursa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Rudy Abdullah berkata dua lelaki, yang bermotosikal memakai topi keledar dan jaket hitam memecahkan tingkap kereta mangsa dan menyimbah asid kepadanya pada kira-kira pukul 6.35 petang Selasa.

Beberapa individu yang menyaksikan serangan berhampiran Menara Olympia, Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur itu segera membawa mangsa ke Hospital Tung Shin.

Mangsa menderita 12 hingga 20% terbakar di tubuhnya tetapi kini berada dalam keadaan stabil.

Polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kerana secara sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan senjata atau cara yang berbahaya.

Seorang sumber polis memberitahu Daily News yang mangsa membuat dua laporan polis sebelum serangan itu.

“Kami masih memastikan sama ada kes-kes lama mempunyai hubungan dengan yang terkini. Pada penghujung tahun lalu, beliau membuat laporan polis berhubung kereta dirosakkan dan awal tahun ini, beliau menerima ugutan melalui telefon.

“Mangsa percaya dalam kedua-dua kes, ia berkaitan dengan kerjayanya,” menurut sumber itu. – 12 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen