UEC, manifesto yang menjadi dilema Pakatan


Looi Sue-Chern

Para pendidik Cina kini menagih janji Pakatan Harapan untuk mengiktiraf UEC yang dilihat oleh pendidik dan kumpulan hak asasi Melayu sebagai percubaan untuk menghakis kepentingan Bahasa Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) kini berada dalam keadaan serba salah, terperangkap dalam isu Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC), yang akan menyebabkannya hilang pengaruh sama ada dengan komuniti Cina atau Melayu, kata penganalisis.

Dalam manifesto sebelum pilihan raya, PH berjanji mengiktiraf peperiksaan standard bagi pelajar sekolah menengah Cina swasta untuk kemasukan ke universiti awam.

Berikutan kemenangannya pada 9 Mei, para pendidik Cina kini bersedia untuk melihat PH menunaikan menjanjikan kejayaannya manakala para pendidik dan kumpulan hak asasi Melayu menganggapnya sebagai percubaan untuk menghakis kepentingan Bahasa Melayu (BM).

Semua subjek bukan bahasa dijalankan dalam bahasa Cina, bertentangan dengan peperiksaan piawaian kerajaan yang dijalankan dalam BM.

Pada masa ini, universiti awam tempatan tidak mengiktiraf keputusan UEC bagi syarat kemasukan walaupun institusi pengajian tinggi swasta tempatan menerimanya.

Manifesto terlalu idealis?

Penganalisis politik Mohamad Hisomuddin Bakar berkata isu UEC menunjukkan bagaimana PH menghadapi dilema dalam menunaikan semua 60 perkara dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mereka.

“Pada masa lalu, tiada siapa peduli memeriksa manifesto pilihan raya Barisan Nasional untuk melihat sama ada mereka menunaikan setiap janji.

“Tetapi dengan PH pasca-PRU14, semua orang melakukannya, jadi PH menjerut leher sendiri,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre itu kepada The Malaysian Insight.

Hisomuddin berkata terdapat persoalan sama ada manifesto PH “terlalu idealis”, kerana mereka tidak mempertimbangkan aspek yang boleh menyentuh beberapa sensitiviti tertentu.

“PH berada dalam dilema. Adakah mereka menunaikan 100% manifesto, atau mengendalikannya dengan hati-hati atau membuat penyesuaian? Sebarang perubahan perlu dijelaskan dan mempunyai justifikasi.”

Kua Kia Soong, pendidik Cina dan penasihat kumpulan hak asasi Suaram, berkata ia sesuatu yang dikesali apabila isu pendidikan sekali lagi dipolitikkan, dan menambah pengiktirafan UEC perlu diserahkan sepenuhnya kepada Agensi Kelayakan Malaysia, dan bukan kepada ahli politik untuk diperdebatkan.

“PH sepatutnya memikirkan semua janji pilihan raya sebelum membuat keputusan,” katanya.

Penganalisis politik dan sosial Dr Wong Chin Huat berkata isu UEC menjadi permainan campur-tolak antara orang Melayu dan Cina, dengan kedua-duanya melihat langkah itu sebagai penunjuk kepada pendirian kerajaan terhadap bahasa minoriti berbanding Bahasa Melayu.

“Satu pihak bimbang pengiktirafan (UEC) akan menjadi punca ke arah mencabar status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Penganalisis politik Mohamad Hisomuddin Bakar berkata kerajaan perlu lebih 'responsif' berhubung isu-isu yang timbul daripada janji pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2018.

“Yang lain pula melihat pengiktirafan itu sebagai penunjuk PH menjadi BN 2.0, dan DAP menjadi MCA 2.0,” katanya, merujuk penolakan komuniti Cina terhadap kerajaan sebelumnya kerana kekurangan perwakilan sepatutnya.

“Hidup dalam masyarakat ‘pemenang akan membolot kesemuanya’, pertaruhannya tinggi ... Jika ini tidak dapat diselesaikan, PH akan kehilangan pengaruh di kedua-dua pihak (Melayu dan Cina) pada pusingan seterusnya,” katanya.

Beri penjelasan

Hisomuddin berkata PH perlu lebih “responsif” berhubung isu-isu yang timbul daripada janji pilihan raya dan tidak membenarkan ia dibahaskan di laman media sosial terlalu lama sebelum membuat keputusan.

“Jika mereka membiarkannya, masalah itu akan menjadi lebih besar. Pendirian kerajaan, walau apa pun ia, harus diberi justifikasi.

“Menteri dan timbalan menteri juga tidak boleh membuat kenyataan berlawanan. Mereka perlu menjadi parti yang konstruktif dan parti politik juga tidak sepatutnya berperang sesama sendiri mengenai isu itu.”

Beliau memberi amaran pihak tertentu akan merebut peluang untuk memainkan sentimen perkauman.

“Isu ini tidak begitu sensitif. Kerajaan hanya perlu memberi keterangan dengan jelas dan konstruktif.”

Wong, daripada Institut Pulau Pinang, mengesyorkan PH membentangkan “perjanjian pakej” untuk menyelesaikan isu UEC dengan melihat jenis kelayakan lain bagi kemasukan ke universiti. – 12 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen