PENAMPILAN muka lama ahli politik dalam barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH), pembangkang dilihat tidak dapat bergerak melangkaui nama jenama politik terkenal iaitu Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, kata penganalisis.
Dalam pengumuman semalam, tiga jawatan tertinggi – penasihat, pengerusi dan presiden – disandang Anwar, Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sebagai tambahan kepada kritikan yang PH masih tidak mempunyai pemimpin yang jelas, Ketua Bendahari Umno Salleh Said Keruak juga turut mempersoalkan ketiadaan muka baru dalam tiga jawatan teratas, khususnya daripada DAP.
“Mereka menggunakan muka lama yang sama, yang bermaksud mereka terlalu bergantung pada nama jenama politik ini,” kata penganalisis politik Jeniri Amir.
Jeniri berkata PH percaya ia masih mempunyai pengaruh untuk menawan undi, terutama di kalangan orang Melayu.
“Tetapi perkara tertentu tidak boleh diabaikan, Dr Mahathir sudah mencecah 92 tahun, dan Anwar masih dalam penjara,” kata profesor madya Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu.
“Mereka terlalu bergantung kepada Anwar untuk memimpin negara ini. Jangan beritahu saya mereka tidak mempunyai pemimpin yang baik daripada kalangan eselon kedua, mereka sepatutnya tampil dengan muka baru. Ia seperti mereka sudah kehabisan tenaga.
“Mereka sepatutnya memutuskan calon terbaik untuk jawatan perdana menteri.”
Mengenai dasar yang dijanjikan PH sekiranya berkuasa, Jeniri berkata, “Saya mengambil apa yang dijanjikan dengan keraguan, terutama apabila ia melibatkan Dr Mahathir.
“Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang terlalu yakin dengan pendapatnya. Ia penting bagi pembangkang mencapai titik kompromi sebagai sebuah pasukan untuk memimpin negara.”
“Itulah sebabnya saya percaya (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali adalah calon yang baik untuk menjadi perdana menteri PH.
“Beliau mampu berkompromi untuk menyelesaikan sesuatu. Inisiatif PH gagal banyak kali kerana terdapat terlalu ramai pemimpin yang sangat yakin dengan pendapatnya.”
Ikrar PH termasuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan, membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi skandal 1Malaysia Development Berhad dan melaksanakan pembaharuan institusi yang komprehensif.
“Kita semua sudah melihat apa yang dilakukan Dr Mahathir selama lebih 20 tahun, terutamanya terhadap badan kehakiman, dan apabila kamu memberinya kuasa kembali, kita akan melihatnya. Kita sudah menyaksikan beliau membuat banyak pusingan U terhadap janjinya dan lupa yang beliau pernah mengatakan Anwar tidak sesuai menjadi perdana menteri.”
Wong Chin Huat, ketua bahagian analisis politik dan sosial Institut Pulau Pinang percaya Dr Mahathir akan menarik sokongan Melayu yang mungkin hilang selepas PAS meninggalkan parti pembangkang.
“Sekarang PAS memilih untuk bekerjasama dengan Umno untuk mengekalkan bentuk politik lama dengan pakej Islamnya yang baru, Dr Mahathir menjadi tarikan terbaik yang boleh ditawarkan PH,” kata Wong.
“Dr Mahathir tidak akan dapat memancing terlalu ramai orang Islam walaupun mereka tidak berpuas hati dengan PAS, tetapi beliau boleh mengalahkan nasionalis Melayu yang tidak berpuas hati dengan PAS, kemungkinan lebih mengisi jurang yang ditinggalkan PAS.
“Gandingan Dr Mahathir-Anwar mungkin kedengaran sinis tapi mungkin lebih menarik daripada gandingan lebih muda,” tambah Wong. – 15 Julai, 2017.
Komen