Bekas hakim Mahkamah Rayuan mungkin bakal speaker Dewan Rakyat


Kamles Kumar

BEKAS hakim Mahkamah Rayuan Mohamad Ariff Yusof adalah yang terakhir dicalonkan bagi jawatan speaker Dewan Rakyat.

Ini berikutan beberapa calon lain termasuk Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul menolak jawatan tersebut.

Ketika dihubungi hari ini, Mohamad Ariff berkata masih terlalu awal bagi beliu untuk mengulas perkara ini.

“Memang ada khabar angin, terlalu awal nak kata,” beliau memberitahu The Malaysian Insight ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Mohamad Ariff tidak menafikan beliau ditawarkan jawatan itu. 

“(Tetapi) tidak, saya tidak ditawarkan secara rasmi.”

Mohamad Ariff lulusan Universiti London (London School of Economics) dan memulakan kerjaya pada 1974 sebagai pensyarah undang-undang dengan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai peguam pada 1985.

Pada 2008, beliau menjadi pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Malaya dan kemudian sebagai hakim Mahkamah Tinggi dan seterusnya hakim Mahkamah Rayuan pada 2012 sebelum bersara tiga tahun kemudian.

Johari yang dicalonkan selepas mesyuarat Pakatan Harapan pada Isnin lepas namun namanya terpaksa diketepikan selepas mendapati beliau perlu meletak jawatan sebagai adun Gurun untuk menjawat jawatan speaker Dewan Rakyat.

Penasihat Lawyers for Liberty, N. Surendran berkata mengikut Perkara 57(4) Perlembagaan Persekutuan, seseorang wakil rakyat yang dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat perlu “meletak jawatan dari DUN sebelum menggalas tugas”.

Johari berkata beliau sudah memaklumkan kepada Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa beliau akan menolak jawatan speaker kerana mahu berkhidmat kepada rakyat di kawasannya.

Bekas menteri, Rais Ytaim dan veteran DAP Lim Kit Siang adalah antara yang disebut-sebut untuk jawatan itu. – 11 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen