Kami hanya letak jawatan selepas terima surat rasmi, kata ahli BN


Noel Achariam

Lembaga penasihat DBKL yang terdiri daripada wakil Barisan Nasional menggesa menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menggunakan saluran yang betul jika mahu mereka meletakkan jawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2018.

WAKIL Barisan Nasional (BN) dalam lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan berhenti sehingga mereka secara rasmi diarahkan berbuat demikian.

Ng How Doo daripada MCA berkata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad perlu melalui saluran yang betul jika beliau mahukan ahli-ahli BN meletak jawatan.

“Kami dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, justeru, adalah sewajarnya arahan untuk melepaskan jawatan perlulah daripada beliau. Harus ada prosedur yang betul.”

Ahli lembaga BN dilantik oleh Agong, atas cadangan bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk tempoh dua tahun, bermula 2017.

Khalid sebelum ini berkata semua wakil BN dalam lembaga penasihat perlu melepaskan jawatan mereka dengan segera.

Anggota BN yang merupakan lantikan politik, akan digantikan oleh ahli Parlimen.

Khalid berkata Akta Wilayah Persekutuan dengan jelas menyatakan ahli lembaga penasihat DBKL tidak boleh dibuat secara lantikan politik.

Ahmad Faisal Abdul Karim daripada Umno berkata beliau tidak mempunyai masalah meletak jawatan, kerana memahami kerajaan sudah berubah.

“Tetapi, ia sepatutnya dilakukan dengan cara yang betul, kerana pelantikan kami disetujui oleh Agong.

“Saya akan meletakkan jawatan selepas menerima surat rasmi daripada DBKL, sepertimana saya dilantik, saya menerima surat rasmi daripada DBKL.

“Saya tidak berhasrat untuk memegang jawatan itu sehingga habis tempoh kontrak saya pada November 2019.” – 11 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen