Pengundi dipindah kawasan selepas diperdaya beri MyKad, dakwa PKR


Looi Sue-Chern

PEMIMPIN PKR Pulau Pinang hari ini mendakwa ada pengundi negeri itu dipindahkan ke negeri lain tanpa pengetahuan mereka selepas memberikan maklumat MyKad kepada individu tertentu.

Pengarah Strategi Kebangsaan PKR, Sim Tze Tin berkata ada pengundi yang datang ke pusat khidmat mereka memberitahu ada pihak menawarkan mereka duit untuk mengambil MyKad mereka, dan ada juga yang mendakwa untuk membantu mereka mendapatkan bantuan kebajikan.

Dia menasihatkan pengundi supaya berhati-hati dan tidak mudah memberikan MyKad mereka kepada orang lain bagi mengelakkan maklumat mereka disalah guna, menambah yang orang ramai perlu memeriksa status pengundian mereka dan bertemu pihak berkuasa sekiranya kawasan pengundian mereka diubah.

“Pengundi (yang mengadu) berkata mereka ditawarkan RM80 untuk menyerahkan MyKad mereka. Ada juga yang mengatakan ia bertujuan membantu mendapatkan bantuan kebajikan. Kami kemudiannya mendapati alamat di mana mereka sepatutnya mengundi sudah diubah ke tempat lain.

“Mereka tidak tahu mengapa mereka dipindahkan. Tetapi daripada cerita mereka, mungkin ada kaitan. Kami juga mendapati kes sebegini berlaku dalam kawasan lain di negeri lain,” katanya kepada wartawan hari ini.

Minggu lepas, satu laporan polis dibuat apabila perwakilan DAP Pulau Pinang mendapati hampir 100 pengundi di beberapa penempatan di Jawi dan Sungai Bakap serta kawasan Parlimen Nibong Tebal dipindahkan ke Prai.

Sim, yang juga ahli Parlimen Bayan Baru mengatakan perkara yang sama berlaku di kawasannya, apabila pengundi mengadu mereka dipindahkan daripada kerusi negeri Batu Uban dan Pantai Jerejak ke Batu Maung; malah ada yang dipindahkan ke Balik Pulau, kawasan Parlimen yang berlainan.

Dia mendakwa yang pemindahan pengundi ke kawasan kerusi negeri yang lain sudah berlaku sejak dua tahun lalu, kelihatan seperti aktiviti terancang yang dilakukan pihak tertentu.

“Kami mendapati yang perkara ini sering berlaku di kawasan kritikal- kerusi marjinal yang akan menyaksikan persaingan sengit dalam pilihan raya akan datang. Di kerusi ini, semua undi penting. Malah 30 undi pun boleh ubah dinamik pilihan raya, dan kami pasti ramai pengundi sedang dipindahkan tanpa pengetahuan.

“Lihat saja Bayan Baru, jelas sekali yang Batu Maung ialah kerusi marjinal. Keseluruhan Balik Pulau juga ialah marjinal,” katanya.

Sim menang di Bayan Baru pada pilihan raya umum lepas dengan majoriti selesa melebihi 19,000 undi berbanding BN.

PKR juga memenangi kerusi negeri Batu Uban dengan majoriti hampir 10,000 dan Pantai Jerejak dengan majoriti lebih 5,300. Salah satu kerusi negeri di Bayan Baru, Batu Maung juga dimenangi PKR dengan majoriti paling rendah iaitu 3,390 undi.

Sebelum itu, dalam PRU 12 Balik Pulau dan ketiga-tiga kerusi negeri kawasan itu dimenangi Barisan Nasional dengan majoriti tipis. BN memenangi kerusi Parlimen dengan majoriti 1,539 undi, sementara Bayan Lepas dimennagi dengan 458 undi, Pulau Betong dengan 395 undi dan Teluk Bahang dengan 801 undi.

Ketua PKR Pulau Pinang, Mansor Othman yang juga merupakan ahli Parlimen Nibong Tebal berkata yang parti itu sudah memeriksa senarai pengundi dan senarai tambahan pengundi  dan mendapati empat kerusi milik PKR menjadi “sasaran”.

“Mereka mensasarkan Seberang Jaya, Sungai Bakap, Sungai Acheh dan Batu Maung. Semua kerusi ini kami menang atau kalah tipis,” katanya.

PKR menang di Seberang Jaya dengan majoriti 2,459 undi dan mengekalkan Sungai Bakap dengan kelebihan 1,805 undi. Parti itu tewas di Sungai Acheh yang dimenangi BN dengan beza hanya 808 undi.

Mansor berkata sejak suku tahunan keempat 2015, berlaku 852 perpindahan pengundi di Seberang Jaya, Sungai Bakap 1,819, Sungai Acheh 654 dan Batu Maung 1,908.

“Sungai Bakap ialah sasaran utama setakat ini. Jumlah pergerakan pengundi hampir sama dengan majoriti undi yang dimenangi PKR dalam pengundian 2013.

“Pemindahan di Sungai Bakap mencapai jumlah tertinggi pada suku pertama tahun ini, apabila 1,299 orang dipindahkan,” katanya dalam satu sidang media di pusat khidmat Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohd Rashid Hasnon yang juga merupakan perwakilan PKR di Pantai Jerejak.

Mansor berkata untuk Seberang Jaya, pengundi yang dipindahkan berasal daripada kerusi yang dipegang PH dan BN- Bertam, Sungai Dua, Bagan Dalam, Bukit Tengah, Permatang Berangan, Sungai Puyu, Machang Bubuk, Telok Air Tawar, Bagan Jermal dan Prai.

Untuk Sungai Bakap, pengundi yang dipindahkan berasal dari Sungai Puyu, Seberang Jaya, Bukit Tambun, Permatang Berangan, Bagan Jermal, Machang Bubuk, Jawi, Telok Air Tawar, Bagan Dalam, Bukit Tengah and Bandar Baharu di Kedah.

Mereka yang dipindahkan ke Sungai Acheh pula berasal dari Jawi, Kuala Kurau dan Titi Serong di Perak.

Sementara itu, pengundi dari Datuk Keramat, Paya Terubong, Sungai Pinang, Batu Uban, Seri Delima, Pantai Jerejak, Air Itam and Bayan Lepas dipindahkan ke Batu Maung.

Kami percaya operasi memindahkan pengundi masih berlaku, apabila MyKad pengundi diambil pihak tertentu dan dipegang beberapa hari supaya maklumat pengundian mereka diubah.

“Jika kita tidak menimbulkan isu ini, ia mungkin akan berterusan sehingga pilihan raya akan datang,” kata Mansor.

PKR mengkritik tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak mengedarkan draf suku tahunan pertama senarai tambahan pengundi kepada parti politik, mendakwa yang ia menyukarkan parti politik pembangkang untuk memeriksa senarai pengundi. – 14 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen