Suspek cuba bayar saya, kata mangsa cabul


Looi Sue-Chern

Mangsa menceritakan kejadian cabul itu dalam sidang media dianjurkan Parti Cinta Malaysia hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern,14 Julai, 2017.

PENGERUSI jawatankuasa keselamatan dan pembangunan kampung (JKKK) di Pulau Pinang yang didakwa mencabul seorang pelayan di sebuah premis hiburan minggu lepas, meninggalkan kad namanya di kedai itu, dengan harapan mangsa akan menghubunginya untuk menyelesaikan masalah tersebut tanpa melibatkan polis.

Lelaki itu- yang sebelum ini ialah pembantu Adun DAP- didakwa cuba menyelesaikan kes pencabulan itu secara diam menggunakan wang menerusi pihak ketiga, kata mangsa berusia 21 tahun yang juga merupakan pelajar kolej itu.

Mangsa mengadakan sidang media untuk “memberitahu semua perkara” awal hari ini, yang dianjurkan Parti Cinta Malaysia.

“Saya hanyalah pelajar biasa yang bekerja sambilan sementara menunggu keputusan diploma perakaunan saya untuk mengurangkan beban keluarga ketika saya menyambung pelajaran.

“Untuk dia (suspek) buat begini kepada saya, dan kemudiannya cuba bayar saya untuk menyelesaikan kes adalah satu penghinaan. Saya guna kaki dan tangan untuk bekerja, bukannya (jual) badan saya,” katanya pada sidang media itu.

Wanita itu yang menghadiri sidang media memakai topi dan topeng muka berkata, kejadian itu berlaku pada 6 Julai lalu- hari pertama dia bekerja di premis hiburan yang terletak di Lebuh Pantai.

Dia mula bekerja pada jam 8.20 malam dan melayan meja yang diduduki dua lelaki- salah seorangnya ialah suspek yang mangsa kenal pasti menggunakan nama suspek.

Ketika dia melayan meja itu, suspek sudah merabanya, dan kemudian ketika suspek beredar menuju ke keretanya pada jam 11 malam, dia meminta mangsa menemaninya, kata wanita itu.

“Itu ialah hari pertama saya bekerja. Saya tak tahu apa yang perlu dilakukan dan saya bimbang buat pelanggan tersinggung. Jadi saya ikutnya ke belakang. Kami guna pintu belakang,” katanya yang bercakap dalam bahasa Mandarin.

Ketika di tempat letak kereta, katanya lagi, suspek mencabulnya, menyuruhnya melakukan seks oral dan menawarkan wang untuk mangsa bermalam dengan suspek.

Dia memberi gambaran tempat kejadian itu berlaku yang gelap, mengatakan yang suspek menolaknya ke dinding menyebabkan dia tidak boleh melepaskan diri.

“Saya cuba tolak dia berulang kali tetapi dia lebih kuat. Saya hanya boleh menangis dan berulang kali mengatakan ‘tidak’.”

“Lelaki itu kemudiannya kata yang kami hanya bercium dan tiada hubungan seks berlaku. Dia suruh saya masuk kembali ke tempat kerja.

“Sebelum itu dia bertanya berapa banyak saya mahu untuk bermalam dengannya atau melakukan seks oral. RM300 atau RM500?

“Saya tidak tahu hendak buat apa. Saya tidak tahu bagaimana caranya hendak beritahu rakan sekerja lain. Saya masuk ke bilik air dan menelefon seorang rakan, yang sepatutnya datang berjumpa saya di tempat kerja selepas itu. Rakan saya datang dan kami beritahu pekerja lain. Kemudian kami buat laporan polis,” katanya.

Katanya lagi, dia dan rakannya kemudian mengetahui daripada pekerja lain yang suspek pernah meninggalkan kad namanya di kedai itu dan merupakan pelanggan tetap, dan kerana itu barulah mereka tahu identitinya dan kaitannya dengan DAP.

Wanita itu membuat laporan polis dua jam selepas kejadian itu di Balai Polis Lebuh Pantai berhampiran.

“Saya sepatutnya bekerja hari itu (7 Julai). Salah seorang rakan sekerja beritahu saya melalui WeChat yang suspek, menerusi pihak ketiga, menghubungi kedai dan meminta berjumpa saya untuk menyelesaikan perkara itu.

“Pihak ketiga itu bertanya sekiranya pampasan wang mencukupi,” katanya, dan memainkan balik mesej rakaman suara yang dihantar rakannya itu.

Ditanya bagaimana dia menjadi sangat berani untuk mengadakan sidang media, dia berkata yang keluarganya mengalakkannya untuk bersuara mengenai jenayah serius itu supaya orang lain akan lebih berhati-hati dan tidak menjadi mangsa.

Suspek itu kini ditahan reman untuk membantu siasatan, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut Anuar Osman.

Timbalan Ketua Menteri I Mohd Rashid Hasnon mengesahkan yang suspek ialah pengerusi JKKK, penggalnya dijangka tamat pada 31 Disember tahun depan.

Rashid yang menguruskan hubungan komuniti termasuklah JKKK mengatakan, mengikut SOP (prosedur operasi standard) untuk situasi sebegini ialah menggantung suspek daripada tugasnya sehingga kes selesai.

“Jika ada bukti terhadapnya, kami akan mengambil tindakan bersesuaian. Buat masa kini, dia dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya. – 14 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen