SEJAK bertahun pembelian Grand Plaza Kensington Hotel dikritik, pertama kali dilakukan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada awal 2015 dalam siri serangan ke atas pembelian aset besar-besaran luar negara dilakukan Felda.
Ketika itu, Dr Mahathir berkata yang agensi kerajaan perlu mempunyai auditor luaran untuk memantau perbelanjaan.
“Keperluan itu mendesak sekarang kerana banyak duit Malaysia sekarang digunakan dan diuruskan kerajaan dan agensi (kerajaan),” kata Dr Mahathir dalam catatan blognya pada 29 Januari 2015.
“Kita melihat entiti seperti Felda, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), Tabung Haji membelanjakan berbilion ringgit untuk mendapatkan hartanah di luar negara sementara yang lain seperti MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd) dan Petronas membeli saham dalam lapangan terbang dan kerjasama dengan Kanada yang melibatkan jumlah wang yang besar.”
Sebulan sebelum itu, entiti korporat Felda, Felda Investment Corporation (FIC) mengumumkan yang ia akan membeli Grand Plaza Kensington Hotel di London bagi “mempelbagaikan pelaburan asetnya”.
Hotel itu sebelum ini dikenali sebagai Park City Hotel.
Pembelian itu ialah yang pertama dilakukan FIC di London, ia pembelian kedua dilakukan Felda.
Persoalan juga dibangkitkan dalam pembelian 198 unit Grand Plaza Serviced Apartment di Bayswater, London yang dibeli FIC pada September 2013 dengan harga £97.9 million (RM538 juta).
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendesak Putrajaya memberikan jawapan kepada persoalan bagaimana FIC menilai pulangan pelaburannya itu.
“Ini menimbulkan kebimbangan yang sekiranya berlaku kejatuhan ekonomi (ia) akan menyebabkan syarikat berkaitan negara yang membeli hartanah di London pada harga tinggi akan kehilangan jutaan ringgit dana awam.”
Pada Mac 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal anak lelaki Isa Samad mengenai pembelian di Kensington, menurut Malaysiakini yang memetik sumber yang mengetahui siasatan itu.
Ketika itu Isa ialah pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), sebuah anak syarikat Felda.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke (DAP) pula meminta Jabatan Perdana Menteri untuk menjelaskan status siasatan SPRM dalam dakwaan FIC terlebih bayar dalam pembelian kedua-dua hartanah itu.
Loke juga meminta penjelasan sama ada anak lelaki Isa sedang disiasat SPRM.
Dalam jawapan bertulis Parlimen pada Mei, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan ketelusan dan integriti, Paul Low berkata siasatan awal mendapati tiada unsur salah laku dalam urus niaga dilakukan FIC.
“Penyiasatan awal SPRM yang dibuat setakat ini tidak menemui asas kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 (dilakukan) pihak berkaitan isu yang dibangkitkan,” kata Low.
Sementara itu, Loke mengalukan tindakan SPRM membuka kembali kertas siasatan berkaitan pembelian hartanah London.
“Sekiranya terdapat bukti kukuh, SPRM perlu menyiasat isu ini sepenuhnya,” kata Loke ketika dihubungi hari ini.
Loke juga menyoal mengapa SPRM mengambil masa sehingga dua tahun untuk membuka kembali kes itu.
fics_london_purchases.jpg)
Komen