AHLI perniagaan Cina tempatan menunggu dengan penuh harapan ketika Daim Zainuddin dan Lim Guan Eng ke China tidak lama lagi untuk melakukan rundingan semula berkenaan beberapa projek mega terlalu mahal yang ditandatangani oleh Malaysia dan China.
Mereka berharap projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion dan projek dua saluran paip gas akan dijalankan mengikut jadual, tetapi dengan lebih banyak pembabitan tempatan.
Projek saluran paip gas itu – satu saluran petroleum pelbagai produk dari Melaka dan Negeri Sembilan ke Kedah, dan satu lagi saluran paip dari Kimanis ke Sandakan dan Tawau – akan dikendalikan oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER), tetapi terbabit dalam kontroversi berkenaan bayaran dan kerja yang dijalankan setakat ini.
Projek itu diberikan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) pada November 2016.
Saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600km menghubungkan Melaka dan Port Dickson di Negeri Sembilan ke Jitra, Kedah (MPP) membabitkan kos mencecah RM5.35 bilion sementara Trans-Sabah sejauh 662km dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau (TSGP) kosnya kira-kira RM4.06 bilion.
Laporan menyatakan Daim, yang juga pengerusi Majlis Penasihat Negara akan ke China hari ini sementara Lim akan ke sana selepas itu bagi berunding semula berkenaan projek saluran paip gas dan ECRL.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka ke China selepas Daim dan Lim bagi lawatan rasminya yang pertama ke negara itu pada Ogos. Pemerhati bagaimanapun berkata beliau akan ke sana untuk memuktamadkan beberapa syarat baharu untuk projek berkenaan.
Putrajaya sebelum ini berkata tiga projek itu terlalu mahal dan sedang melihat untuk melakukan rundingan semula bagi mengurangkan kos, bukannya membatalkannya terus, bagi mendapatkan situasi menang-menang bagi kedua-dua negara.
Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Siah Teong Chein memberitahu The Malaysian Insight bahawa ECRL membabitkan banyak aspek, tidak seperti Kereta Api Laju KL-Singapura, di mana kerja sudah pun bermula dan tidak boleh dibatalkan.
“Di hujungnya, saya berharap ECRL dapat diteruskan. Sudah tentu, perbezaan antara kos projek dan kos sebenar terlalu besar dan ia perlu disemak semula.”
Siah berkata cara yang mungkin boleh diambil untuk mengurangkan kos pembinaan ialah menggunakan lebih banyak kapital China bagi membiayai projek itu tetapi tanpa menyerahkan hak operasi Malaysia terhadap ECRL.
Bagaimanapun katanya, ia agak sukar dilakukan kerana membabitkan terlalu banyak isu struktur dan pengurusan.
“Cara yang mungkin terbaik untuk mengurangkan kos ialah memudahkan pembangunannya dan mengubah model operasi seperti mengubahnya kepada model ‘bina-beroperasi-pindah’ (BOT).”
Siah berkata di bawah model BOT, kerajaan boleh membenarkan syarikat China mengendalikan ECRL bagi satu tempoh, di mana seperti itu operasinya akan diserahkan kembali kepada kerajaan Malaysia, sama seperti perjanjian konsesi lebuh raya tempatan.
“Jadi kosnya akan ditanggung dengan modal China tetapi masih ada perincian dan aspek projek ini yang perlu dibincangkan secara lanjut.”
Katanya, cara lain untuk mengurangkan kos ialah pemaju projek perlu menggunakan lebih ramai kontraktor tempatan dan bahan tempatan.
Berkenaan apa yang mungkin berubah tentang ECRL, Siah berkata terlalu awal untuk diulas.
“Walaupun MCCC bertemu dengan Majlis Penasihat Negara untuk berunding tentang ECRL, ia masih di peringkat awal.
“Mereka kata mereka ada pakar untuk mengkaji perkara itu. Apa yang saya tahu, mereka belum buat keputusan apa-apa lagi.”
“Kami percaya kerana hubungan baik antara Malaysia dan China, kedua-dua negara akan melakukan yang terbaik dalam menyelesaikan perkara ini kerana ia membabitkan inisiatif ‘One Belt One Road’ China bagi pembangunan jangka panjang.
“Saya percaya perkara ini akan menguji kebijaksanaan kepimpinan kedua-dua negara.”
Siah berkata ECRL hanya satu daripada banyak projek kerjasama Malaysia dan China, dengan pelan pembangunan lain sudah pun mula dijalankan.
Beliau berharap ekonomi kedua-dua negara tidak akan terjejas akibat projek bermasalah.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazhong) Pheng Yin Huah berkata tindakan yang baik apabila pemimpin Malaysia mengambil inisiatif dengan pergi ke China terlebih dahulu.
“Saya rasa kunjungan Daim ke China membuka laluan untuk lawatan rasmi Dr Mahathir pada Ogos, kerana selepas pilihan raya 9 Mei, pelaburan China dan projek ECRL dipersoalkan.
“Inisiatif pemimpin Malaysia ke China baik, dan saya percaya rakyat kedua-dua negara mengharapkan berita baik daripada kunjungan itu.”
Ditanya adakah mungkin situasi menang-menang boleh berlaku, Pheng berkata Dr Mahathir sudah menekankan bahawa kerajaan mengalu-alukan pelaburan China di bawah inisiatif “One Belt One Road” dan juga mengiktiraf keperluan Malaysia memasuki pasaran luas China.
Ditambah dengan hubungan dua hala yang baik antara kedua-dua negara, Pheng berkata situasi menang-menang itu sudah pasti mampu dicapai. – 11 Julai, 2018.
Komen