Isu PTPTN: Pemuda Bersatu sanggup kerjasama dengan Pemuda Umno


Diyana Ibrahim

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman berkata kerjasama dengan Pemuda Umno dalam isu PTPTN membolehkan lebih mudah berhubung dengan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2017.

PEMUDA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini berkata mereka sanggup mengetepikan perbezaan politik dan bekerjasama dengan Pemuda Umno dalam menyelesaikan isu hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihadapi pelajar.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman berkata kerjasama dengan Pemuda Umno dalam isu itu membolehkan mereka lebih mudah berhubung dengan kerajaan terutama dalam mendapatkan data sebenar pelajar yang dibebani hutang PTPTN.

Katanya, ia susulan keluhan kumpulan mahasiswa lepasan diploma pada tahun sebelum 2014 yang didakwa terpaksa menyelesaikan bayaran pinjaman PTPTN meskipun mereka belum tamat pengajian.

“Pemuda Bersatu menyeru Pemuda Umno bersama kami dalam memperjuangkan isu hutang PTPTN, andai mereka serius hendak memperjuangkan nasib anak muda Melayu yang paling ramai terkesan dengan masalah hutang PTPTN,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Sementara itu, Exco Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda Bersatu Abdul Hannaan Khairy berkata sekurang-kurangnya 50,000 pelajar diploma dianggarkan berdepan masalah itu.

Katanya, hutang itu menyebabkan nama mereka yang terbabit disenaraihitamkan, mengakibatkan mereka tidak dapat keluar negara dan nama turut tersenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

“Walaupun mendapat kelulusan penangguhan bayaran bulanan oleh PTPTN, mereka tetap perlu membayarnya seperti biasa.

“Kami difahamkan penangguhan bayaran diluluskan PTPTN untuk mengelakkan peminjam disaman dan kos dakwa tetapi masih terikat disenaraihitamkan di CCRIS,” katanya sambil menambah anggaran itu berdasarkan kiraan 20 universiti awam.

Sehubungan itu, Pemuda Bersatu mendesak PTPTN membuat penyelarasan sistem bayaran secara menyeluruh melibatkan pelajar lepasan diploma yang ingin melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah seperti diguna pakai bagi pelajar membuat pinjaman selepas 2014. – 14 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen