Kenyataan menteri tak cerdik, bercanggah, kata Pemuda Bersatu


Diyana Ibrahim

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman berkata pandangan Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak bukan saja tidak cerdik malah bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2017.

KENYATAAN menteri Umno, Salleh Said Keruak yang mempersoalkan ketiadaan wakil DAP dalam barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dibidas sayap Pemuda Bersatu hari ini.

Ketuanya, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata menteri komunikasi dan multimedia itu bukan saja tidak cerdik malah bercanggah dengan kenyataannya terdahulu yang mendakwa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sanggup melakukan apa saja dalam memberi laluan kepada DAP menerajui kepimpinan negara.

“Kalau ada lagi pihak Umno yang menyatakan pihak PH didomininasi orang Cina dan DAP, maksudnya mereka ini sememangnya kurang cerdik.

“Jika tengok kenyataan mereka, (Salleh) kata struktur baharu ini memperkecilkan DAP tetapi sebelum ini beliau kata gabungan adalah parti DAP,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan selepas pengumuman PH itu membuktikan ia berjaya mencetuskan ketakutan kepada Barisan Nasional (BN).

“Pucuk pimpinan tertinggi PH dipengerusikan Dr Mahathir Mohamed, diikuti ketua umum Anwar Ibrahim, Dr Wan Wan Azizah Wan Ismail serta jawatan timbalan presiden dipegang Muhyiddin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng. Ini membuktikan PH mempunyai ramai calon yang kuat.

“Saya rasa mereka tidak dapat lihat perkara sebenar. Ia menunjukkan mereka takut sampaikan menteri propaganda Umno sendiri memberi kenyataan,” katanya merujuk kepada coretan Salleh menerusi blognya hari ini.

Salleh mempersoalkan kedudukan DAP sedangkan parti itu mempunyai bilangan ahli Parlimen paling ramai dalam PH.

Bendahari Umno itu turut mempersoalkan siapa di antara tiga pemimpin tertinggi terbabit mempunyai kuasa eksekutif dan kata putus terakhir dalam membuat keputusan bagi gabungan tersebut.

Selain itu, Syed Saddiq pada sidang medianya turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen DAP Liew Chin Tong berhubung penyertaan anak menteri besar Johor, Akmal Saufi Mohamed Khaled menyertai Bersatu.

“Tiada anak menteri besar Johor menyertai Bersatu dan Akmal masih bersama Umno.

“Walau tanggapan ini dibuat rakan DAP tetapi salah tetap salah. Saya hendak betulkan tanggapan itu,” katanya.

Semalam, Akmal yang juga ketua penerangan Pemuda Umno Johor Baru menafikan dakwaan itu.

Katanya, beliau mengarahkan peguam mengeluarkan surat kepada DAP untuk menurunkan laporan tidak bertanggunggjawab serta membuat permohonan maaf secara terbuka. – 14 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen