Penting kerajaan miliki portal berita Islam


Zainal Rashid Ahmad

MINGGU ini dianggap minggu paling panik bagi aliran berita Islam. Keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan ajaran Ahmadiah sebagai bukan Islam memulakan seismografi kepanikan.

Kes fahaman Ahmadiah atau Qadiani diputuskan mahkamah berikutan tuntutan pengisytiharan oleh 39 pengikut Ahmadiah memohon Mahkamah Syariah tidak mempunyai hak membicarakan pengikut ajaran itu.

Keputusan itu mencetuskan pelbagai respons. Keseluruhannya berlegar terhadap pelbagai persoalan lanjutan yang tidak diperincikan mahkamah.

Keputusan itu dianggap relevan merujuk kepada keputusan fatwa 1998 pindaan 2001 oleh Majlis Fatwa Selangor yang memutuskan ajaran Ahmadiah sesat dan terkeluar daripada Islam.

Namun, masyarakat jadi panik kerana memikirkan kesan-kesan lain berkaitan keputusan tersebut. Antaranya: Kalau sudah bukan Islam, apakah statusnya?

Ahmadiah kini berstatus agama, aliran atau fahaman?

Dalam kekeliruan ini, masyarakat mengharapkan penjelasan meluas berhubung status pengikut Ahmadiah yang sudah terkeluar daripada Islam. Apakah semua hak-hak eksklusif sebagai Islam dalam perlembagaan akan terlucut sepenuhnya terhadap pengikut Ahmadiyah?

Felo Kanan IKIM, Dr. Shamrahayu Abd Aziz berkata, selain tidak boleh menggunakan takrifan Islam, pengikut Ahmadiah juga tidak boleh menggunakan perkataan Allah, menggunakan masjid, dilarang dikebumikan di pusara Islam dan dilarang mengalunkan azan.

Namun, di ruang komen berita, masih ada pertanyaan berhubung status Islam dalam kad pengenalan serta taraf perkahwinan sekiranya pasangan masih Islam.

Ketika masyarakat masih keliru, timbul pertanyaan: Apakah keputusan itu akan mendorong lebih 40 ajaran sesat lain untuk menuntut hak yang sama di mahkamah?

Tidak kurang yang bertanya: Apakah Syiah juga akan menuntut hak yang sama bagi mendapatkan kebebasan beramal sebagai satu agama di luar Islam?

Belum reda isu Ahmadiyah, timbul isu LBGT. Satu lagi berita yang mencemaskan umat Islam apabila ada laporan yang menyebut: Secara hak asasi, semua perkara berkaitan orientasi kehidupan seks bukan lagi tabu. Malah, manipulasi kononnya kerajaan menerima LBGT sebagai kumpulan yang berhak mendapat kebebasan berdasarkan amalan hak asasi.

Menteri Agama, Dr Mujahid Yusof Rawa segera menafikan perkara ini. Malah, menyifatkan kenyataan diputarbelitkan. Kerajaan tidak pernah memberikan apa-apa komitmen kebebasan kepada mana-mana kumpulan berkaitan LBGT.

Kemudian muncul pula, isu sekolah tahfiz wajar ditutup. Alasan laporan dipetik itu: Kerajaan harus bertindak menutup sekolah aliran ini kerana konsepnya yang jumud dan tidak menggambarkan nilai Islam sebenar.

Isu penghakiman Ahmadiah, isu LBGT dan isu sekolah tahfiz adalah indikasi betapa berita-berita berkaitan kepentingan Islam akan terus hangat di pasaran. Malah, mampu mencetuskan kekeliruan dan rasa panik.

Dalam konteks persepsi, banyak pihak gemar memetik, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikaitkan sebagai liberal dan mendokong faktor kebebasan berdasarkan hak asasi.

Justeru, sesuatu yang mudah, untuk mengaitkan apa sahaja berita dengan elemen kebebasan politik baharu. Nilainya mudah sensasi dan cepat tersebar.

Hak asasi akan giat digunakan sebagai teras laporan atau berita bagi menyatakan: Hal-hal yang dominan Islam termasuk dalam perlembagaan dan perundangan, kini sudah tidak lagi terpakai. Apatah lagi, dalam soal kebebasan hak asasi yang selama ini dikekang oleh undang-undang agama.

Isu kepanikan ini hanya gelombang fasa pertama. Selepas ini, pencetus sensasi akan meniupkan pula berita-berita yang lebih mengelirukan. Tentunya, berkaitan sentimen menggunakan kalimah Allah serta hak untuk murtad. Ia isu yang turut dipakejkan pejuang hak asasi dalam usaha melemahkan kedudukan Islam.

Malah, isu hak kebebesan untuk penganut Syiah pasti juga akan diperdebatkan dan pasti menularkan banyak lagi kekeliruan. Itu belum masuk isu liberal dan pluralisme yang turut berada dalam senarai agenda.

Fasa seterusnya, apabila debat mengenai kalimah Allah dan hak untuk murtad diputarbelitkan, seismografi kepanikan akan makin meningkat. Apa lagi, sekiranya akses masyarakat untuk mendapatkan penjelasan terbatas dan tertangguh.

Banyak pihak sedang menangguk di air keruh. Mereka sengaja menggunakan suasana perubahan kerajaan sekarang sebagai titik melobi idea-idea kontroversi sebelum ini bagi tujuan meraih sokongan dan kebangkitan.

Seolah-olah melaungkan: “Islam bukan lagi agama persekutuan. Malaysia kini menuju negara hak asasi.”

Tiga isu ini mengingatkan kita mengenai pentingnya portal berita yang khusus dalam menyebarkan maklumat mengenai Islam. Portal yang mampu bereaksi dengan cepat, tepat dan benar.

Portal berita mengenai isu-isu berkaitan Islam kelihatan sangat diperlukan kerajaan. Orientasi portal ini mesti untuk rujukan massa. Bukan sekadar kepada pembaca Islam.

Isu Islam dalam konteks isu semasa sekarang adalah isu nasional. Kebenaran fakta yang cepat dan tepat sangat penting untuk seluruh masyarakat.

Dalam konteks sekarang, aliran berita harus minit ke minit, jam ke jam dan hari ke hari. Konsistensi dan kepantasan menjawab maklumat melalui eleman teks portal menjadikan kesan seismografi kepanikan dalam dikawal. – 11 Julai, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen