Dr M saksi kes saman fitnah Mukhriz terhadap setiausaha akhbar PM


Muzliza Mustafa

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ketika menghadiri perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap setiausaha akhbar perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Julai, 2017.

PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dijangka memberi keterangan sebagai saksi dalam perbicaraan kes saman fitnah difailkan anaknya Mukhriz terhadap setiausaha akhbar perdana menteri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta hari ini.

Beliau dijangka akan turut disoal balas peguam defendan, Jaharberdeen Mohamed Yunoos pada jam 3 petang.

Peguam Mohammed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mukhriz memaklumkan perkara itu di hadapan hakim di mahkamah tengah hari tadi.

Di luar mahkamah, beliau memberitahu wartawan yang anak guamnya dan Dr Mahathir saja saksi yang akan memberi keterangan hari ini.

Terdahulu, ketika perbicaraan berlangsung, Haniff Khatri mempertikaikan kredibiliti salah satu dokumen yang diberikan kepada mahkamah oleh peguam defendan.

Ia membabitkan kredibiliti individu yang menulis artikel itu dan disiarkan di Malaysia Today.

Beliau bertanya mengapa Tengku Sarifuddin menggunakan artikel itu sebagai rujukannya ketika membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Mukhriz kerana penulisnya ialah individu yang melarikan diri dari negara ini kerana mengelak tuduhan menghasut yang dikenakan padanya.

Terdahulu, Jahaberdeen turut menyoal balas Mukhriz berhubung kandungan tuntutan saman fitnahnya terhadap Tengku Sarifuddin.

Mukhriz memfailkan saman fitnah terhadap Tengku Sarifuddin pada 3 Mei tahun lalu.

Beliau mendakwa Tengku Sarifuddin mengeluarkan empat kenyataan media berunsur fitnah terhadapnya iaitu pada 15, 20, 23 dan 26 April.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata beliau memberikan notis menerusi kenyataan media pada 21 April meminta Tengku Sarifuddin menarik balik kenyataan itu atau berdepan tindakan undang-undang. – 14 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen