ANTHONY Loke menamakan seorang calon untuk menggantikan pengerusi eksekutif Ketua Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Abdullah Ahmad.
Menteri pengangkutan berkata beliau mengemukakan satu nama kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk dipertimbangkan.
“Mengenai Mavcom, saya sudah mencadangkan nama kepada perdana menteri. Ia tugasf perdana menteri untuk membuat pelantikan. Saya harap pelantikan itu akan dibuat tidak lama lagi untuk memastikan kesinambungan di Mavcom,” katanya hari ini.
Minggu lalu, Bernama melaporkan Abdullah meletakkan jawatan.
Bulan lepas, Loke mendedahkan gaji Abdullah adalah RM85,000 sebulan, empat kali ganda daripada yang diperoleh Dr Mahathir.
Beliau berkata perdana menteri mengarahkan semakan semula gaji selepas didedahkan gaji dan elaun bulanan Abdullah pada 2016 berjumlah RM78,300.
Beliau berkata terdapat kenaikan 3% tahun lepas, dan tambahan 5% lagi tahun ini, menjadikan gaji semasa Abdullah kepada RM85,000.
Kerajaan berkata ia akan mengkaji semula gaji pengerusi lembaga semua badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.
Abdullah, bekas jeneral tentera udara bersara, berkhidmat dengan Mavcom selama lebih dua tahun.
“Saya berterima kasih kepada pengerusi eksekutif Mavcom atas perkhidmatannya. Berhubung dengan gaji, pengerusi eksekutif baru pasti menerima pemotongan gaji,” kata Loke.
“Mengenai kuantum (pemotongan itu), saya akan membuat pengumuman kemudian.”
Mavcom juga menjadi perhatian selepas AirAsia, Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd dan Suasa Airlines Sdn Bhd menggesa agar ia dimansuhkan, dengan mengatakan suruhanjaya itu “tidak cekap” dan “perbelanjaan yang tidak perlu”.
Sementara itu, Loke enggan mengulas mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, yang mengatakan perkara itu sedang diuruskan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali. – 10 Julai, 2018.
Komen