Mat Sabu akan isytihar harta bila-bila masa


Noel Achariam

Mohamad Sabu mengulas kenyataan pengerusi PH bahawa tiada seorang pun ahli Parlimen PH yang menyahut seruannnya supaya mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Julai, 2018.

MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk mengisytiharkan hartanya selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa tiada seorang pun ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) mengisytihar harta mereka.

“Sebelum ini saya isytihar harta pada Invoke Malaysia.

“Jadi bila-bila masa saya boleh isytihar,” kata Mohamad selepas menghadiri majlis rumah terbuka Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pengerusi PH bahawa tiada seorang pun ahli parlimen PH yang menyahut seruannnya supaya mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang akhbar di ibu pejabat SPRM hari pagi tadi.

Mohamad berkata semua menteri kini adalah penjawat awam.

“Sebelum ini bekas perdana menteri (Najib Razak) dan timbalannya (Ahmad Zahid) dikecualikan. Sekarang semua orang adalah penjawat awam termasuk Dr Mahathir dan timbalan (Dr wan Azizah Wan Ismail). Tiada siapa yang terkecuali, kalau tidak akan berlaku salah guna kuasa,” katanya.

Mohamad yang turut berada dalam jawatankuasa pencegahan rasuah yang dipengerusikan Dr Mahathir berkata taklimat di SPRM hari ini adalah mengenai perkara yang boleh dilakukan dan dilarang melibatkan rasuah.

“Taklimat ini diberi kepada semua menteri dan ahli parlimen. Kali ini isu mengenai rasuah diperketatkan lagi untuk membendungnya sebanyak mungkin.

“Ada banyak perkara yang kita tak boleh buat seperti menerima hadiah selain daripada makanan dan barang bukan makanan yang nilainya tidak melebihi RM500.

“Kalau tak, kita akan laporkan kepada SPRM. Kita harap jawatankuasa ini akan dapat mengurangkan rasuah.

Mohamad menambah, tidak kira siapa, jika orang itu memegang jawatan dalam kerajaan, dia harus mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Bulan lalu, Dr Mahathir mengarahkan menteri dan timbalan menteri mengisytihar harta kepadanya.

Perdana menteri berkata beliau akan menyampaikan maklumat berkenaan kepada agensi berkaitan.

Selangor adalah antara negeri pertama yang memperkenalkan pengisytiharan harta kepada awam pada 2009. Manakala Pulau Pinang mengikuti langkah sama selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri itu. – 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen