Hanipa mungkin dibenarkan keluar hari ini, kata Mat Sabu


Noel Achariam

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mahmed Hanipa Maidin akan dibenarkan keluar hospital hari ini semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Julai, 2018.

MOHAMED Hanipa Maidin dibenarkan keluar dari hospital pada bila-bila masa, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“Beliau semakin pulih. Beliau kini sedang berehat dan akan dibenarkan keluar pada bila-bila masa. Beliau mungkin boleh keluar hari ini,” katanya selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak hari ini.

Beliau mengulas mengenai Hanipa yang jatuh pengsan di atas pentas hanya beberapa minit semasa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan bulanan di Putrajaya semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sedang ditahan di Hospital Putrajaya dan dijangka akan dibebaskan hari ini.

Pihak hospital dalam satu kenyataan berkata Hanipa diletakkan di bawah pengawasan selama 24 jam.

Ia berkata Hanipa berada dalam keadaan stabil, tetapi tidak mendedahkan apa yang menyebabkannya pengsan.

Semalam, pegawai media Ahli Parlimen Sepang, Anas As-Said Zaharuddin, memberitahu Bernama bosnya sudah sedar.

Beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kesihatan Hanipa.

Hanipa yang bertanggungjawab dalam undang-undang adalah antara tiga timbalan menteri di JPM yang baharu mengangkat sumpah pada 2 Julai lepas.

Ahli politik berusia 48 tahun itu mengalami strok di Parlimen pada April 2016, dan menjalani pembedahan selama dua jam kerana pendarahan otak.

Beliau kembali bertugas pada Oktober tahun yang sama. – 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen