Dr Mahathir akui lawan rasuah kali ini lebih sukar


Chan Kok Leong

Dr Mahathir Mohamad bertemu wartawan selepas memberikan ucaptama kepada wakil rakyat Pakatan Harapan termasuk menteri dan timbalan menteri mengenai komitmen kerajaan membanteras rasuah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Julai, 2018.

MEMBANTERAS rasuah kini lebih sukar bagi Dr Mahathir Mohamad berbanding ketika pertama kali menjadi perdana menteri pada 1981.

“Masa saya jadi PM masa 1981, saya masuk keadaan jentera kerajaan bersih…setakat yang bersih, adalah (juga rasuah) tetapi sekarang kerana kita dapat ia menjejaskan jentera kerajaan,” katanya di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di SPRM hari ini, pemimpin berusia 93 tahun berkata walaupun pegawai disyaki melakukan rasuah, kerajaan tidak boleh membuang mereka.

“Kita nak kena pilih, tapis (kakitangan dan pegawai kerajaan yang terlibat rasuah) sebelum ambil tindakan.

“Dan hanya dengan syak wasangka sahaja, kita tidak dapat menamatkan semuanya. Oleh itu, kami tidak mempunyai jentera untuk melaksanakan arahan kami.”

Dr Mahathir bertemu wartawan selepas memberikan ucaptama kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) termasuk menteri dan timbalan menteri mengenai komitmen kerajaan membanteras rasuah.

Wakil-wakil rakyat PH itu berada di ibu pejabat SPRM untuk diberikan taklimat oleh Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull mengenai rasuah dan integriti.

Taklimat itu mencakupi soal perisytiharan harta, hadiah, pengurusan peruntukan kawasan pilihan raya serta kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Sejak memimpin PH menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas, Dr Mahathir jadi perdana menteri sekali lagi dengan komitmen antara lain membersihkan Malaysia.

Apabila ditanya apakah impiannya sempena hari jadi ke-93, Dr Mahathir berkata: “Saya harap media akan membantu kita menghapuskan rasuah”.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata kerajaan masih menimbang bagaimana dan bilakah sepatutnya perisytiharan harta anggota jemaah menteri dan wakil rakyat didedahkan kepada umum.

“Perisytiharan ini melibatkan keluarga dan kita menimbang banyak mana boleh didedahkan kerana ia juga melibatkan privasi ahli keluarga,” katanya.

Menjawab satu soalan, Dr Mahathir berkata, beliau tidak tahu apakah usaha kerajaan ini memadai untuk membanteras rasuah.

“Saya tidak tahu apakah saya sudah buat cukup, sehingga mereka (anggota kerajaan) buat kesalahan. Apabila mereka buat salah, baru saya tahu kita belum buat cukup,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, adalah mustahak pemimpin atasan menunjukkan teladan yang baik untuk memastikan rasuah tidak menular dalam kalangan kumpulan yang mereka pimpin.

“Kalau tidak tunjuk teladan terbaik, susah mereka hendak nasihatkan orang bawahan untuk tolak rasuah,” katanya, dan menambah teladan baik itu juga mesti datang daripada menteri dan timbalan menteri.

Menyentuh mengenai gaji menteri dan wakil rakyat, Dr Mahathir enggan mengesahkan apakah ia akan disemak walaupun gaji dan elaun mereka lebih rendah berbanding sektor swasta.

“Kita pun tidak mahu gaji lebih rendah daripada sektor swasta, jadi kita akan turunkan gaji sektor swasta,” kata Dr Mahathir berjenaka. – 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen