Penyeludup dadah warga Malaysia jalani hukuman mati di Singapura hari ini


Bede Hong

WARGA Malaysia Prabagaran Srivijayan, 29 yang didapati bersalah menyeludup dadah, menjalani hukuman mati di Singapura pada jam 6 pagi hari ini.

Ahli keluarganya menuntut mayat mendiang di penjara Changi kira-kira jam 10 pagi.

Turut berada di perkarangan kompleks penjara berkenaan ibu Prabagaran, ibu saudara dan anak saudaranya.

“Ahli keluarganya berjaga sepanjang malam. Mereka dilihat berulang alik dari hotel penginapan mereka ke penjara,” kata pengasas kumpulan anti hukuman mati We believe in Second Chances, Kirsten Han.

“Dia sangat sedih. Ia amat sukar baginya,” kata Han merujuk kepada ibu Prabagaran.

“Katanya: “Anak saya sudah tiada, anak saya sudah tiada.”

Mayat mendiang akan dibakar petang ini, kata Han. 

Prabagaran disabitkan kesalahan kerana menyeludup 22.24 gram heroin dalam kenderaannya pada Julai 2012.

Rayuan selama 11 jam bagi menolak hukuman berkenaan bagaimanapun ditolak Mahkamah Apex Singapura semalam.

Peguam Prabagaran, Choo Zheng Xi berhujah rayuan Prabagaran di Malaysia masih belum selesai,” lapor The Straits Times.

Peguam itu turut memohon kepada Mahkamah Rayuan Malaysia untuk merujuk Singapura ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa, dengan mengambil kira kebimbangan terhadap perbicaraan itu.

Sebelum itu, permohonan Prabagaran untuk penangguhan bagi memulakan prosiding semakan kehakiman ditolak Mahkamah Tinggi Malaysia pada Mac, yang mengatakan ia tidak boleh campur tangan dalam kes itu.

Amnesty International menimbulkan kebimbangan mengenai keadilan perbicaraan Prabagaran, dengan menyatakan bahawa pihak berkuasa tidak membenarkan saksi dipanggil.

Hujah utama pertahanan yang dibuat adalah Prabagaran meminjam kenderaan itu. Dia mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya sepanjang perbicaraan.

Singapura menjatuhkan hukuman mati sebanyak 10 kali - termasuk tujuh kes pengedaran dadah - selepas ia menerima moratorium terhadap hukuman mati pada tahun 2014.

Terdapat 38 orang dihukum mati di Singapura, menurut Amnesty International. – 14 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen