AVINASH, 7, dari Selangor, gembira apabila Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri Malaysia.
“Saya harap awak seorang pemimpin yang baik. Saya harap awak akan menjadikan Malaysia negara yang berjaya dan selamat,” tulisnya kepada Dr Mahathir yang menyambut ulang tahun ke-93 hari ini.
Seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh tahun, Radheka Sai dari Petaling Jaya menulis: “Saya sayang awak. Saya mahu kerajaan baharu kita yang baik, boleh dipercayai, penyayang dan adil.”
Avinash dan Radheka adalah dua daripada ratusan kanak-kanak dan belia Malaysia yang menulis mesej kepada Dr Mahathir – perdana menteri tertua di dunia – menerusi inisiatif Instagram #lettertomyPM oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia.
Dilancarkan pada 12 Mei, tiga hari selepas Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Dr Mahathir memenangi kuasa persekutuan, kempen itu bertujuan memberikan kanak-kanak dan belia sehingga usia 24 tahun peluang untuk memberitahu perdana menteri dan pemimpin lain, apa yang mereka mahu untuk Malaysia baharu.
Sempena hari ulang tahun Dr Mahathir hari ini, Unicef Malaysia mengeluarkan kompilasi pesanan yang membawa aspirasi generasi muda, serta kebimbangan mereka dan cadangan penyelesaian kepada negara berhubung sistem pendidikan, keamanan, tadbir urus, perpaduan, bandar mampan dan alam sekitar.
Menerusi pesanan mereka, remaja dan belia lebih khusus dan serius dalam apa yang mereka mahu, terutama berkenaan pembangunan, kebebasan bersuara, pendidikan dan kemudahan sekolah lebih baik, ruang untuk turut serta dalam membuat dasar bagi kanak-kanak dan belia, perpaduan, kesamarataan, keadilan dan kedaulatan undang-undang, serta Malaysia bebas rasuah.
Mimico, 15, dari Kuala Lumpur memberitahu Dr Mahathir bahawa sistem pendidikan sepatutnya lebih baik.
“Saya harap awak dapat mengubah sistem pendidikan kita jadi lebih baik. Rakan-rakan saya pergi ke sekolah swasta kerana ibu bapa mereka fikir sekolah kerajaan tidak bagus. Saya juga berpendapat orang miskin turut memerlukan persekitaran pembelajaran lebih baik.”
Anglyne, 16, dari Sarawak berkata beliau berharap kerajaan akan meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris di negara ini, mengurangkan harga buku untuk pelajar dan membantu pelajar yang tidak mampu memiliki komputer riba dan akses Internet.
“Saya harap Tun (Dr Mahathir) boleh bekerja dengan semua orang, tanpa mengira bangsa, agama dan parti politik untuk membangunkan negara tercinta ini, Malaysia,” tulis Nabil, 14, dari Kuala Lumpur. – 10 Julai, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen