TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin dijangka akan keluar hospital esok.
Hanipa dirawat di Hospital Putrajaya selepas pengsan pagi tadi.
Pihak hospital berkata timbalan menteri itu diletakkan di bawah pemerhatian selama 24 jam.
Kenyataan Hospital Putrajaya itu juga disiarkan di akun Facebook Hanipa - “Peguam PAS - Dulu”.
Terdahulu, pegawai media Hanipa, Anas As-Said Zaharuddin ketika dihubungi Bernama berkata Mohamed Hanipa, 49, masih menjalani rawatan di Hospital Putrajaya.
Dalam kejadian pada kira-kira 8.40 pagi tadi, keadaan bertukar kecoh ketika Dr Mahathihr sedang berucap apabila Mohamed Hanipa yang berdiri paling kanan dalam barisan menteri dan timbalan menteri JPM, tiba-tiba jatuh daripada pentas.
Pada 5 April, 2016, beberapa ahli parlimen menemui Hanipa yang terjatuh dan terkena meja di Parlimen.
Beliau yang kemudiannya dikejarkan ke Institut Jantung Negara sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur menjalani pembedahan selama dua jam kerana pendarahan otak.
Hanipa kembali bertugas di Parlimen pada Oktober 2016 di mana beliau berjalan dengan bantuan tongkat.
Hanipa sebelum ini dilantik sebagai timbalan perdana menteri untuk membantu menteri undang-undang Liew Vui Keong.
Selain Liew, antara yang turut hadir pada perhimpunan bulanan itu ialah Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa. – 9 Julai, 2018.
Komen