Pengiktirafan UEC akan ubah identiti pendidikan negara, kata Pemuda Umno


Yasmin Ramlan

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan kerajaan membenarkan pengiktirafan UEC akan mengubah identiti pendidikan negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2018.

PEMUDA Umno membantah keras cadangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ketua pemudanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika kerajaan membenarkan pengiktirafan UEC, ia dibimbangi akan mengubah identiti pendidikan negara.

“Kita tidak boleh mempunyai dua, tiga sistem pengiktirafan kalau tidak kita akan gagal membina identiti negara bangsa yang bersepadu.

“Mana ada negara yang mempunyai sistem sepertimana kita (cadang lebih daripada satu sistem)... Singapura hanya mengiktiraf satu sistem sahaja,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pergerakan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Barisan Nasional (BN) dalam manifesto PRU14 yang dilancarkan bekas perdana menteri Najib Razak pernah berjanji akan mengiktiraf UEC.

Semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, kerajaan tidak akan mengadaikan bahasa Melayu dan akan melakukan kajian holistik sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC.

Maszlee berkata, meskipun terdapat cadangan untuk mengiktiraf sijil itu sebagai antara syarat kemasukan ke IPTA, beliau tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan sekolah menengah persendirian Cina Malaysia dan tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Sementara itu, Asyraf berkata Pemuda Umno turut membantah gesaan bekas menteri penerangan Zainuddin Maidin supaya semua sekolah tahfiz, yang didakwanya tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam, ditutup.

Asyraf berkata, kenyataan Zainuddin yang merupakan bekas menteri Umno itu amat dangkal dan tidak boleh diterima kerana ia seolah-olah mencabar keputusan Majlis Raja-Raja dan pihak berkuasa agama negeri.

“Apa juga seruan menutup tahfiz ini mereka harus jelas bahawa kuasa yang berkaitan agama adalah kuasa mutlak Majlis Raja-Raja dan pihak berkuasa agama negeri-negeri, apa juga keputusan mereka harus rujuk kepada Majlis Raja-Raja kerana institusi tahfiz ini berdaftar di peringkat majlis agama negeri dan jabatan agama negeri.

“Hujah yang diletakkan untuk menghapuskan atau menutup sekolah tahfiz ini tidak kuat bahkan bagi saya amat dangkal sekali kerana pandangan mengatakan bahawa ia tidak mampu melahirkan generasi baru Islam yang baik dan seimbang,” katanya.

Katanya, sekolah tahfiz sepatutnya diperkasa ke arah lebih baik sepertimana yang ingin dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini.

“Saya rasa lebih baik memperkasakan apa yang kerajaan sebelum ini laksanakan atau telah gubal dalam dasar pendidikan negara, kerajaan BN telah merangka satu ‘blueprint’ yang jelas bagaimana generasi tahfiz ini kita bina, seperti generasi hufaz.

“Hufaz bukan sahaja hafiz 30 juzuk al-quran tapi mereka mempunyai penguasaan disiplin ilmu dan mempunyai kemahiran dalam pelbagai aspek teknikal dan vokasional kita perkenal pelbagai aliran ada profesional, aliran agama dan vokasional itu hasrat BN sebelum ini,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan PH akan meneruskan usaha tersebut bagi mencapai 150,000 hufaz yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.– 9 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen