Bekas pengarah Goldman Sach bantu siasatan 1MDB di AS


Jahabar Sadiq

BEKAS pengarah Goldman Sachs, Tim Leissner setuju untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat dalam siasatannya terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyingkirkan kerajaan Najib, Mei lalu.

Kerjasamanya penting untuk membongkar kes kleptokrasi terbesar dunia itu yang dikatakan oleh Malaysia punca hutang negara meningkat sehingga RM1 trilion dan meletakkan Najib Razak di dalam kandang tertuduh minggu lalu.

The Malaysian Insight difahamkan Leissner setuju untuk bekerjasama dengan AS dan bukannya pihak berkuasa di Malaysia selepas beliau disekat oleh pihak berkuasa negara itu daripada pulang ke Austria dua bulan lalu.

“Ada operasi bersama AS-Austria dan mereka mengenakan sekatan perjalanan dan menyiasat beliau tentang 1MDB.

“Beliau kemudian menghubungi Jho Low dan peguam di Malaysia. Mereka menasihatinya supaya bekerjasama dengan penyiasat di AS,” kata sumber kepada The Malaysian Insight, merujuk pada Low Taek Jho, ahli perniagaan Malaysia yang jadi pusat perhatian skandal itu.

Leissner, bekas pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, pernah jadi penasihat kepada 1MDB, syarikat pelaburan strategik yang ditubuhkan pada 2009 untuk membantu negara membangunkan infrastruktur. Beliau berkahwin dengan model yang juga pereka fesyen Amerika, Kimora Lee Simmons.

Di bawah pengawasannya, cawangan Asia Tenggara bank yang berpangkalan di New York itu mengumpulkan hampir AS$6 bilion bagi 1MDB antara 2012 dan 2013. Wang itu sepatutnya digunakan bagi projek pembangunan tetapi pihak pendakwa di AS menuduh duit itu diseleweng oleh pegawai kanan 1MDB dan sekutunya.

Leissner meninggalkan Goldman Sachs pada 2015. Beliau bagaimanapun disekat daripada bekerja dalam pasaran kewangan AS dan Singapura apabila 1MDB terjerat dengan tuduhan ketakaturan kewangan yang kemudiannya menyebabkan ia disiasat di beberapa negara.

Menurut sumber, kerjasama Leissner akan memberikan gambaran yang lebih jelas kepada penyiasat mengenai bon, yang antaranya dijamin oleh International Petroleum Investment Corp (IPIC) di Abu Dhabi.

Pendakwa di AS juga menuduh “derma” AS$681 juta yang masuk ke akaun bank peribadi Najib datang daripada bon yang satu lagi.

Pengkritik sebelum ini mempersoalkan pendapatan Goldman daripada mengatur jualan bon bagi 1MDB, yang mendapat upah lebih kurang AS$593 juta daripada jualan tiga bon. Bank di AS itu sebelum ini mendakwa bayaran Malaysia itu mencerminkan risiko jaminan dan keadaan pasaran pada ketika itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bulan lepas berkata, Malaysia akan berusaha mendapatkan semula AS$4.5 bilion yang hilang melalui 1MDB, termasuk upah yang dibayar kepada Goldman.

“Kita perlu membukti duit itu milik kita,” kata Dr Mahathir dalam wawancara dengan Bloomberg TV.

“Kerajaan sebelum ini, kerana mahu mengelak daripada dituduh salah laku, memutuskan bahawa duit itu bukan kita punya, jadi mereka tidak buat sebarang tuntutan. Tetapi kita tahu itu duit kita. Itu duit daripada 1MDB,” katanya.

Tidak jelas apakah pihak berkuasa AS akan berkongsi maklumat yang diperolehi dari Leissner dengan pasukan penyiasat di Malaysia, terutamanya bersabit pendakwaan terhadap Najib, yang menafikan terlibat dengan sebarang salah laku berhubung 1MDB.– 9 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen