DUA duta yang merupakan lantikan politik daripada pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu bersetuju untuk melepaskan jawatan masing-masing, walaupun terdapat laporan awal mengatakan mereka enggan berbuat demikian.
Sumber berkata duta ke Vatican City sudah pulang ke Malaysia sementara duta ke Finland, Blache Olbery, sudah memberitahu Kementerian Luar yang beliau bersetuju untuk pulang ke tanah air.
Difahamkan yang mereka kini dianggap sebagai rakyat biasa dan bukannya wakil kepada kerajaan selepas pentadbiran Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan untuk mengkaji semula kesemua lantikan politik.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah mengesahkan yang isu memanggil mereka semula sudah selesai.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti dua duta tersebut.
“Seorang sudah pulang dan seorang lagi juga akan pulang. Isu ini sudah selesai dan ia diselesaikan oleh pegawai kementerian,” kata Saifuddin kepada pemberita ketika ditemui di Shah Alam.
The New Straits Times melaporkan yang duta ke Vatican City Bernard Dompok sudah pulang ke Penampang, Sabah.
Akhbar The Star melaporkan yang dua duta tersebut sebelum ini enggan untuk meletak jawatan walaupun diarahkan.
Kedua-dua mereka adalah antara lantikan politik yang disingkirkan kerajaan PH.– 9 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen