PEMUDA Umno mahu jadi suara rakyat yang akan menjalankan tanggungjawab semak dan imbang terhadap kerajaan dengan membangkitkan isu-isu yang jadi perhatian rakyat, kata ketuanya yang baru, Asyraf Wajdi Mohd Dusuki.
Katanya, belum pun sampai 100 hari mentadbir Malaysia, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah mencetuskan kemarahan rakyat berhubung beberapa isu yang menyentuh sensitiviti rakyat.
“Kita akan jadi pembangkang berwibawa. Pemuda harus ke depan membawa suara hati dan denyut hati rakyat supaya kita menjadi pengimbang kepada kerajaan yang ada.
“Sebab kerajaan yang ada kini bukanlah malaikat… tak ada dosa atau kesalahan. Mereka orang biasa.
“Tak sampai 100 hari mereka banyak sentuh isu fundamental negara, agama, perlembagaan, tadbir urus… yang hakikatnya menyerlahkan Pemuda Umno (untuk) mainkan peranan suara rakyat bagi tujuan sedemikian,” katanya hari ini.
Beliau bercakap kepada wartawan pada sidang media selepas mesyuarat pertama exco Pemuda Umno di ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Asyraf terpilih mengetuai sayap Pemuda Umno dalam pemilihan parti itu pada 23 Jun lepas.
Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan hubungan PH dan Institusi Raja-raja Melayu tegang berhubung isu pelantikan peguam negara dan pemansuhan institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Asyraf yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pihaknya bagaimanapun tidak akan mencontohi sikap PH ketika menjadi pembangkang sebelum ini.
Beliau menyifatkan gabungan parti itu membangkang dengan emosi tanpa fakta.
“Pendekatan kami fokus kepada ilmu dan fakta. Bukan macam pembangkang dulu - (membangkang dengan) fitnah dan emosi.
“Tiada politik kotor tapi bersifatkan harmoni. Bersandarkan fakta dan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Kita bersedia untuk berdialog dengan mana-mana pihak untuk menyatakan pendapat kami,” katanya. – 9 Julai, 2018.
Komen