Mencari keadilan di mahkamah Najib Razak


Noor Azam Shairi

ADA peribahasa Melayu yang menggambarkan riuh rendah mengenai status hakim dalam kes Najib Razak di mahkamah – sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu.

Orang sudah serik kerana pengalaman lepas mengajar mereka, bukan tidak mustahil hakim yang ada kaitan dengan Umno akan berpihak kepada pemimpin Umno.

Inilah celakanya buruk perangai segelintir hakim yang tiada integriti, beban persepsinya ditanggung badan kehakiman sampai ke hari ini: sekali jalan kena, dua kali jalan tahu.

Dek serik itulah, beberapa pihak termasuk Badan Peguam Malaysia mendesak Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Soffian Abd Razak supaya menarik diri daripada membicarakan empat pertuduhan terhadap Najib, yang juga bekas presiden Umno.

Alasan mereka, hakim itu adik kandungnya anggota majlis kerajaan negeri Pahang – sebuah antara dua negeri yang masih dikuasai oleh Umno selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Adik hakim itu, Mohd Soffi Abd Razak wakil rakyat Benta sejak 1999, menang pilihan raya lima kali sebagai calon Umno mewakili Barisan Nasional (BN).

Rabu lalu, Najib dihadapkan ke mahkamah atas empat pertuduhan melibatkan duit RM42 juta yang didakwa diselewengkan dari dana SRC International Sdn Bhd.

Mereka yang mendesak Soffian menarik diri berhujah begini: Najib itu bekas presiden Umno, bekas pengerusi BN, pernah pula jadi Menteri Besar Pahang; adik Soffian pemimpin kanan Umno di Pahang, makanya, Soffian ada kaitan dengan Najib dan ternampak tidak boleh berlaku adil.

“Majlis Peguam percaya hakim itu perlu membuat pendedahan berkenaan bagi memelihara integriti prosiding serta mengelakkan kemungkinan berat sebelah.

“Malangnya, kegagalan hakim itu berbuat demikian menimbulkan persoalan mengenai kewajarannya untuk terus mendengar kes berkenaan,” kata Majlis Peguam dalam satu kenyataan.

Keadilan bukan saja mesti ditegakkan tetapi harus kelihatan ditegakkan, kata mereka.

Memang betul, sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu. Tetapi ini bukan ilmu hisab: 2+2 sama juga dengan 1+3.

Salahkah kalau kita melihat kebimbangan sesetengah pihak ini sebagai keterlaluan, atau bukan-bukan? Seperti baju tergantung di balik pintu disangka hantu.

Soffian, bekas peguam, dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2005 sebelum disahkan sebagai hakim penuh dua tahun kemudian. Ketika itu, Najib belum lagi perdana menteri, belum juga jadi presiden Umno.

Sebelum diangkat ke badan kehakiman, Soffian pernah jadi exco Badan Peguam Malaysia antara 1997 dan 2004, termasuk sebagai setiausaha selama satu penggal.

Apakah Badan Peguam Malaysia kini tidak meyakini integriti saudara mereka sendiri – seorang yang pernah mereka pilih, termasuk sebagai ahli Majlis Peguam?

Kita jangan lupa, Umno parti paling besar di Malaysia. Ahlinya ada lebih 3 juta orang. Maknanya, seorang antara 10 rakyat negara ini adalah ahli Umno.

Kalau kita surih susur galur keturunan setiap seorang majistret, hakim sesyen, pesuruhjaya kehakiman dan hakim yang ada di Malaya dan Borneo, tidak mustahil ada yang terkait dengan ahli Umno.

Adakah kerana adiknya wakil rakyat Umno maka hakim itu tidak boleh mengendalikan kes melibatkan bekas presiden Umno?

Itu saja?

Barangkali elok kalau kita jangan cepat melatah, seperti melihat huruf “t” atau tiang lampu sebagai tanda salib dan usaha Kristianisasi.

Ini bukan kali pertama ada kes seperti ini. Ada hakim pernah diminta tarik diri kerana dia kawan peguam yang mengendalikan kes. Ada hakim pernah diminta tarik diri kerana anaknya peguam di firma yang mengendalikan kes.

Ada juga hakim pernah menarik dirinya sendiri kerana yang mengendalikan kes adalah abang kandungnya. Ada juga hakim menarik diri kerana sebelum jadi hakim dia ahli politik dan pernah juga jadi anggota kerajaan.

Di India, pernah ada seorang hakim yang sebelum jadi hakim dia pernah jadi menteri. Hakim itu kemudiannya dikenang sebagai tokoh yang melakukan banyak pembaharuan pada sistem keadilan jenayah.

Moral ceritanya apa?

Adil atau tidak seseorang hakim itu bukan kerana dia itu siapa, adik beradiknya siapa atau apa, sejarah hidupnya bagaimana. Adil atau tidak seseorang hakim itu kerana integriti yang ada padanya.

Gopal Sri Ram, bekas hakim rayuan yang kini kembali jadi peguam, pernah berkata, ahli politik boleh saja jadi hakim asal saja dia ada integriti.

Celakanya kita – sampai hari ini – ada hakim yang tidak berintegriti, yang bukan saja menjual maruah diri sendiri tetapi memberi nama buruk kepada badan kehakiman, sehngga terpalit pada semua hakim.

Tiadanya integriti dalam diri segelintir hakim menyebabkan orang tidak yakin mereka akan mendapat keadilan di mahkamah.

Tetapi keadilan di Malaysia ini selalu juga dibuat jadi seperti bahan lawak jenaka – mahkamah adil kalau memihak kepada kita, tidak adil kalau sebaliknya; mahkamah adil kalau tidak memihak parti politik tertentu, tidak adil kalau sebaliknya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun begitu. Polis, Suhakam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun begitu, sampailah kepada kastam, agensi cukai malah mungkin tok penghulu – adil kalau memihak kepada kita, tidak adil kalau memihak kepada lawan.

Lucunya juga, mereka yang selalu begini sekarang sudah jadi kerajaan. Walaupun sudah jadi kerajaan, tapi kalau sudah sekali kena, kali kedua berjaga-jaga – seperti kata peribahasa: sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu. – 9 Julai, 2018

* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen