Pengguna media sosial kecam Syed Saddiq gagal bela pegawai akhbar


Looi Sue-Chern

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman dihambat kontroversi pertama apabila salah seorang ahli pasukan medianya, Numan Afifi diserang hebat kerana usahanya membela LGBT negara ini. Kegagalan menteri muda itu membela pegawainya sendiri membangkitkan kemarahan banyak pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2018.

PENGGUNA media sosial hari ini mempersoalkan mengapa Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bangkit membela pegawai akhbar sementaranya, Numan Afifi yang berundur daripada jawatan itu susulan kecaman sebilangan pihak terhadap usahanya membela golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara ini.

Mengulas catatan di akaun Facebook Numan, mereka menyelar Syed Saddiq menggesa menteri muda itu untuk jadi berani dan berjuang menegakkan yang hak.

Numan sebelum ini jadi tumpuan apabila jadi penganjur majlis berbuka puasa untuk gay tahun lepas, telah bersama-sama dan bekerja untuk kempen pilihan raya Syed Saddiq dan merupakan ahli pasukan media menteri itu ketika perubahan kerajaan berlaku.

Walaupun beliau tidak pernah memegang jawatan rasmi dalam kementerian, penglibatannya dalam pasukan Syed Saddiq dikecam hebat pembenci LGBT dalam negara ini menyebabkan beliau berundur.

Peguam dan pembela hak asasi terkemuka negara, Siti Kasim turut menyelar Syed Saddiq, berkata:

“Jangan jadi ahli politik yang tidak ada ‘telur’ untuk pertahankan hak awak, Numan. Syed ini patut bela awak atau sesiapa sahaja tanpa mengira orientasi seksual, kaum atau agama mereka.

“Dia patutnya membela awak sama seperti orang DAP Pulau Pinang buat ketika dia ambil seorang trans (transeksual) bekerja,” katanya di Facebook.

Siti Kasim yang dikenali ramai kerana usahanya membela golongan minoriti negara ini merujuk kepada bekas Adun Tanjung Bungah The Yee Cheu yang keluar DAP sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bekas Adun itu sebelum ini menjadi pejuang hak asasi kumpulan minoriti pernah mengambil seorang transgender untuk bekerja dalam pasukannya.

“Berbanding cuba membersihkan sampah yang nampak, dia patutnya membersihkan otak kotor masyarakat kita,” tambah peguam itu merujuk kepada gambar yang tular menunjukkan Syed Saddiq mengutip sampah selepas perlawanan bola speak di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini.

Dalam catatan Facebook awal hari ini, Numan berkata ancaman pengkritik dan propaganda pembangkang mewujudkan situasi mustahil untuknya terus berkhidmat, seterusnya memaksanya berundur daripada sebarang jawatan rasmi di kementerian.

Katanya, beliau akan terus menyokong Syed Saddiq yang digelarnya sahabat sebagai pegawai akhbar sementara menanti pegawai media dilantik secara rasmi. – 9 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen