KABINET dan ahli Parlimen Pakatan Harapan dianggap sebagai “penjawat awam” bagi memastikan kebertanggungjawaban untuk tindakan mereka ketika pegang jawatan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Kami sudah memutuskan yang perdana menteri dan timbalan perdana menteri, menteri kabinet dan kerajaan juga adalah penjawat awam dan mereka tidak boleh terlepas daripada undang-undang jika mereka ada aset yang mereka tak dapat jelaskan dari mana mereka perolehi,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Pusat Governans, Integriti dan Anti Korupsi (GIACC) pagi ini.
Katanya, semua menteri dan ahli Parlimen kerajaan perlu melaporkan semua hadiah diterima kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Mereka hanya boleh terima bunga, makanan atau plak (menghormati atau penghargaan untuk perkhidmatan yang diberikan). Mereka boleh terima tetapi semua ini perlu dilaporkan.
“Tetapi jika mereka diberi Mercedes (Benz) atau Proton sekalipun, mereka tak boleh terima hadiah ini,” kata Dr Mahathir.
Perdana menteri berusia 92 tahun itu juga berkata yang pegawai kerajaan perlu melaporkan jika mengesyaki wujudnya korupsi. GIACC juga membincangkan “beberapa undang-undang” yang akan dipinda untuk mengurangkan korupsi dalam negara.
Katanya lagi, semua menteri kabinet dan ahli Parlimen PH perlu mengisytiharkan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), walaupun begitu, beliau tidak menetapkan tarikh akhir berbuat demikian.
“Kita mahu menghapuskan korupsi tetapi ia tidak mudah kerana ia datang dalam banyak bentuk,” katanya.
Tetapi, beliau memberitahu wartawan dari China yang Malaysia tidak akan mempunyai hukuman mati untuk korupsi.
“Kami tahu China sangat tegas terhadap korupsi tetapi tidak akan ada hukuman mati di sini. Kita berhenti setakat itu.”
Isu “penjawat awam” muncul selepas Dr Mahathir cuba menyaman bekas perdana menteri Najib Raza katas dakwaan salah guna kuasa penjawat awam.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pada April 2017 yang “perdana menteri, timbalan perdana menteri dan setiausaha politik bukanlah dalam perkhidmatan awam atau penjawat awam tetapi ahli pentadbiran”.
Dr Mahathir juga berkata yang jawatankuasa sedang berusaha merangka undang-undang berita dan menyemak semula kod etika tadbir urus pembiayaan politik di negara ini.
“Parti politik perlu duit untuk berkempen dan penyokong ada beri duit. Tetapi jika duit yang diberi dibalas dengan habuan kemudiannya, maka itu adalah korupsi.”
Katanya, terdapat banyak jenis pembiayaan politik dan GIACC masih menilai beberapa sistem berbeza.
“Di Jerman, misalnya, kerajaan beri duit kepada parti dan AS guna pelobi. Tetapi (pelobi) adalah korupsi bagi kita.”
GIACC akan merangka undang-undang bagi memastikan pembiayaan politik akan menghalang habuan kepada penderma. Bagaimanapun, Dr Mahathir juga tidak menetapkan tarikh akhir bilakah undang-undang baru atau kod etika itu akan dilaksanakan.
Menurut pegawai GIACC, semua wakil rakyat PH akan diberikan taklimat khas di SPRM esok mengenai kod etika penerimaan hadiah. – 9 Julai, 2018.
Komen